Tai Chee Khiong (dua kiri) diiringi keluar selepas dijatuhi hukuman mati di Mahkamah Tinggi, Tawau hari ini.
TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang mekanik berusia 52 tahun yang didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu hampir 200 kilogram pada dua tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim, Datuk Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap Tai Chee Khiong selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Ketika membacakan keputusan, Hock Leng menyatakan tertuduh mempunyai pengetahuan dan milikan secara langsung terhadap dadah seberat 199.95 gram dengan itu, tertuduh disabitkan atas kesalahan berkenaan.
Hakim memberitahu jika mengambil kira berat dadah bagi semua kes mahkamah di Tawau selama tempoh tiga tahun ini, ia tidak menyamai jumlah tangkapan dadah yang terlibat dalam kes tertuduh.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain dalam hujahnya memberitahu mahkamah bahawa hukuman mati wajar dikenakan terhadap tertentu selepas mengambil kira faktor jumlah berat dadah yang terlibat serta kepentingan awam.
Sebelum hukuman dijatuhkan, mahkamah turut memberi peluang untuk tertuduh untuk bercakap namun, dia memilih untuk mendiamkan diri.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Darmin Acho memberitahu mahkamah bahawa itu adalah kesalahan pertama tertuduh namun, peguam tidak menyentuh mengenai kekesalan anak guamnnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis syabu seberat 199,950.1 gram di Kampung Batu Payung pada 6 September 2021, kira-kira pukul 7.30 malam.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan tidak kurang 15 sebatan.
Kes dikendalikan oleh Hurman dan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Suriana.
Sepanjang perbicaraan, seramai lima saksi dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan soerang saksi iaitu tertuduh dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Untuk rekod, sabitan kes ini adalah kes pertama Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman mati selepas hukuman mati mandatori dimansuhkan berkuat kuasa pada 4 Julai tahun lalu.


































