PETALING JAYA: Gara-gara hutang RM30, seorang lelaki di bawah pengaruh dadah tergamak menikam rakannya ketika datang ke rumah mangsa di Sungai Way, di sini kelmarin.
Difahamkan kejadian pada 12.15 tengah malam itu berlaku apabila suspek berusia 20-an datang ke rumah mangsa untuk menuntut hutang tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, ketika kejadian, berlaku pergelutan di mana suspek mengeluarkan pisau dan menikam dada kiri serta mengelar leher mangsa.
“Mangsa menjerit kesakitan dan lari masuk ke dalam rumah meminta bantuan rakan serumah.
“Kejadian dipercayai berlaku kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa enggan membayar baki hutang RM30 menyebabkan dia marah dan ketika itu berada di bawah pengaruh dadah terus bertindak di luar kawalan menikam dada beberapa kali dan kelar leher mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shahrulnizam berkata, susulan itu, polis menahan suspek pada jam 1 pagi kelmarin di rumahnya yang selang beberapa rumah dengan mangsa.
“Mangsa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dalam keadaan stabil di mana luka kecederaan juga sudah dijahit.
“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah syabu,” katanya.
Tambahnya, suspek direman sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


































