Seorang pelajar bersalam dengan Iris.
COCHIN: Sebuah sekolah di Thiruvananthapuram, Kerala di India mengambil langkah revolusioner dalam pendidikan dengan memperkenalkan guru teknologi kecerdasan buatan (AI) bernama Iris.
Dibangunkan dengan kerjasama Makerlabs Edutech, Iris merupakan robot humanoid yang pertama di Kerala dan mungkin di negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, Oddity Central melaporkan, inovasi itu dicipta oleh Sekolah Menengah Tinggi KTCT, sebuah inisiatif Amanah Kebajikan Kaduvayil Thangal.
Iris adalah sebahagian daripada projek Atal Tinkering Lab (ATL), inisiatif NITI Aayog 2021 yang dibangunkan untuk meningkatkan aktiviti kokurikulum di sekolah.
Pelancaran robot Iris pada bulan lalu, mencetuskan keterujaan dalam kalangan orang ramai.
Sebuah video yang dikongsikan oleh Makerlabs menunjukkan keupayaan guru AI berbilang bahasa itu.
Dalam rakaman video itu, Iris dilihat boleh menjawab soalan yang sukar membabitkan pelbagai mata pelajaran.
Malah, Iris juga menyediakan bantuan suara peribadi dan memudahkan pengalaman pembelajaran interaktif.
Selain itu, Iris turut dilengkapi dengan roda bagi membolehkannya bergerak.
“Makerlabs Edutech berbesar hati untuk memperkenalkan ciptaan baharu kami, Iris iaitu robot guru AI yang bersedia untuk membawa perubahan dalam landskap pembelajaran.
“Iris merangkumi komitmen kami untuk melangkaui jauh ke hadapan, memberi inspirasi keyakinan dalam lebih banyak inovasi yang akan datang,” jelas kapsyen hantaran itu.
Perkembangan itu menandakan perubahan ketara dalam landskap pendidikan Kerala.


































