Pelaksanaan eTesting merupakan usaha Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia untuk mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia. – Gambar Hiasan
HULU LANGAT: Kementerian Pengangkutan (MOT) memperkenalkan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting) di tiga Insititusi Memandu (IM) terpilih sebagai projek rintis bagi meningkat integriti sistem ujian memandu.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, melalui sistem ini prestasi calon ujian memandu akan diukur menggunakan alat sensor dan kamera serta keputusan akan dijana secara masa nyata (real-time), sekaligus meningkatkan integriti proses penilaian.
“Kini terdapat tiga IM yang telah bersedia dengan pelaksanaan sistem eTesting iaitu Institut Memandu Surfine Hitech, Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd., Ulu Tiram, Johor, dan Institut Lima Bintang Abadi Sdn. Bhd., Pulau Pinang.
“Sistem eTesting ini akan meningkatkan integriti sistem ujian memandu, pengeluaran lesen memandu, memudahkan proses auditan dan pemantauan aktiviti ujian secara elektronik.
“Calon boleh membuat percubaan kali kedua bagi setiap elemen ujian yang gagal pada hari yang sama tanpa sebarang kos tambahan,” katanya pada sidang media lawatan kerja Pelaksanaan Inisiatif Sistem Latihan dan Pengujian Memandu secara Elektronik di sini, hari ini.
Menurutnya, calon ulangan hanya perlu membuat ujian ulangan melibatkan elemen yang gagal tanpa perlu mengulangi keseluruhan elemen ujian Bahagian II.
Inisiatif yang diumumkan pada hari ini merupakan usaha MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) untuk mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) seterusnya menyokong ke arah penyampaian perkhidmatan pendigitalan.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, institut memandu seluruh negara dibenarkan untuk menawarkan ujian berasaskan eTesting bermula April 2024.
“Tempoh masa selama enam tahun akan diberikan kepada IM bagi peralihan pengujian kaedah manual kepada kaedah eTesting.
“IM yang diluluskan akan diwajibkan untuk turut menyediakan sistem eTesting dalam tempoh satu tahun,” ujarnya.


































