KENINGAU: Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM6,000 terhadap seorang guru yang mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu.
Guru yang bertugas di sebuah sekolah di Tenom itu disyaki menggunakan kad pengenalan palsu sejak 29 tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Ridal Abdul Kadir, 53, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani yang memerintahkannya dihukum penjara bermula daripada tarikh ditangkap iaitu pada 29 Januari lalu berserta denda RM6,000. Jika gagal membayar denda boleh dipenjara selama enam bulan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Januari lalu, kira-kira pukul 11.30 pagi semasa pemeriksaan dokumen dilakukan di kawasan letak kereta kuarters guru sekolah berkenaan.
Atas kesalahan itu, guru tersebut didakwa di bawah Seksyen 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semakan lanjut di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan bertaraf warganegara yang palsu dengan nombor dan nama tersebut.
Berdasarkan rekod, kad pengenalan dengan nombor dan nama yang sama pernah dikeluarkan oleh JPN namun, bertaraf pemastautin sementara (PR).
Semakan juga mendapati tertuduh memiliki dokumen pengenalan sementara dengan nombor serta nama sama. Malah, daftar kelahiran yang direkodkan juga bertaraf bukan warganegara.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Mohd. Naser Mohd. Nadzeri manakala tertuduh diwakili peguam, Korventt Wheezar.


































