Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan hari ini adalah sebagai garis panduan untuk agensi media melaksanakan tugas, sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat diyakini oleh rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, Kod Etika Wartawan Malaysia yang juga inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu menggarap lapan etika utama dilancarkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Lapan etika berkenaan adalah wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti; dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
Sementara itu, Fahmi dalam ucapan perasmian kod berkenaan berkata tidak ada mana-mana individu atau organisasi bebas menyebarkan berita palsu.
Katanya, dalam konteks itu, undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam.
“Justeru, pihak wartawan dan organisasi media perlu bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang sahih.
“Wartawan juga berperanan menyuburkan kemakmuran serta keharmonian yang didukung melalui nilai Malaysia Madani,” katanya.
Penyediaan kod etika wartawan Malaysia itu membabitkan Fakulti Komunikasi Universiti Sains Malaysia serta Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kod etika itu diperkenalkan untuk mengemas kini etika kewartawanan Malaysia diterbitkan Malaysian Press Institute (MPI) pada 1989 yang menjadi rujukan kerajaan bagi pengurusan media.


































