KOTA KINABALU: Seramai empat orang pesakit bermasalah pendengaran bersama waris masing-masing dan 16 orang kakitangan Hospital Queen Elizabeth (HQE) yang merangkumi doktor perubatan, audiologist, staf sokongan daripada Jabatan Otorinolaringologi dan bahagian pengurusan HQE telah menjayakan misi pendakian Gunung Kinabalu di Kundasang, Ranau, hujung minggu lalu.
Pesakit yang mengikuti ekspedisi ini adalah dalam kalangan anak muda berusia enam 6 hingga 14 tahun, maklum HQE dalam kenyataan hari ini.
Turut bersama menyertai pendakian ini adalah Dr. Halimuddin Sawali, Ketua Jabatan Otorinolaringologi merangkap Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi Negeri Sabah dan Siti Aminah Kamaludin, Ketua Bidang Pemulihan Perubatan (Audiologi) Negeri Sabah selaku Ketua Program Ekspedisi Gunung Kinabalu sempena Hari Pendengaran Sedunia peringkat Kebangsaan bagi tahun ini.
Tema “Hear to Greater Heights” yang diangkat bersempena Hari Pendengaran Sedunia peringkat Kebangsaan pada tahun ini menjadi pemangkin bagi perubahan mentaliti masyarakat dan telah membuktikan bahawa masalah pendengaran tidak menjadi halangan bagi pencapaian potensi sepenuhnya.

Sambutan Hari Pendengaran Sedunia peringkat Kebangsaan tahun 2024 akan diadakan di HQE pada 5 Mac akan datang.
Objektif utama ekspedisi pendakian Gunung Kinabalu ini bukan hanya sebatas pembuktian konseptual malah ianya merupakan landasan bagi pembinaan keyakinan dalam kalangan pesakit bermasalah pendengaran yang telah menjayakan program ini. Interaksi secara langsung antara kakitangan hospital yang terlibat dalam misi pendakian ini juga telah memberikan pendedahan mendalam mengenai kesihatan pendengaran kepada masyarakat dan membentuk pengalaman yang menginspirasi, membangun kepekaan serta meningkatkan pemahaman mendalam mengenai cabaran yang dihadapi oleh pesakit bermasalah pendengaran.
Sejajar dengan objektif program ini diadakan, Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr. William Gotulis ketika merasmikan acara Flag-Off di Timpohon Gate pada Sabtu berkata, ekspedisi ini boleh menyuntik semangat juang yang tinggi dalam kalangan pesakit bermasalah pendengaran dan membuka ruang kepada orang lain untuk berusaha bersama-sama pesakit dan menjadikan pendakian ini satu inspirasi yang bermakna buat semua.
HQE turut merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah kerana telah memberi sokongan dan sumbangan yang telah menjadi pendorong utama dalam menjayakan ekspedisi Gunung Kinabalu ini.

“Semoga setiap usaha dan pengorbanan yang diberikan dalam Program Ekspedisi Gunung Kinabalu akan membuka mata masyarakat khususnya di negeri Sabah tentang keperluan mendalam dan menyeluruh terhadap kesihatan pendengaran.
“Semoga kesannya dapat dirasai dan diinspirasikan kepada masyarakat di samping membawa satu komuniti yang lebih peduli dan berusaha untuk mencapai kejayaan bersama,” kata Dr. William.


































