Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau aktiviti keganasan bagi memastikan keselamatan negara terjamin
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau pergerakan dan sebarang aktiviti mempunyai kaitan dengan keganasan bagi membendung gejala itu terus merebak sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pemantauan itu dilakukan pihaknya melalui Cawangan Khas.
“Kita sentiasa memantau sekiranya terdapat sebarang pergerakan atau aktiviti yang dikaitkan pengganas dalam memastikan keamanan dan keselamatan dilindungi daripada anasir jahat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengenai senarai tiga pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC), Biro Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan namun enggan mengulas berhubung perkara itu.
Beliau turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau rakyat negara ini agar tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik antaranya Gaza atas alasan ‘berjihad’ demi keselamatan.
Jelas beliau, walaupun Malaysia tidak pernah mengklasifikasikan Hamas sebagai pengganas atau militan, pihaknya akan memastikan tiada penglibatan rakyat Malaysia hingga mengancam keselamatan diri.
“Kita akan pastikan mereka yang pergi ke Rafah hanya untuk tujuan menghantar bantuan dan keperluan rakyat Palestin,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Syria Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Pengurus Besar Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Abu Bakar Abdul juga tertanya mengapa mereka dalam pemerhatian FBI selain mendakwa tidak pernah menerima sebarang notis atau makluman rasmi mengenai perkara itu.
Ahmad Musa yang memimpin CSM dalam misi kemanusiaan dan bantuan kepada pelarian Syria menegaskan, beliau berharap ada penjelasan daripada pihak berkaitan.
“Alasan paling logik buat masa ini ialah saya pernah ditahan di Jordan pada 2017 kerana menolong pelarian Syria,” jelasnya.
Abu Bakar pula menegaskan, beliau tidak pernah menaja atau memberi sebarang bentuk bantuan atau sokongan kepada kumpulan tertentu yang didakwa pengganas.
Jelasnya, beliau akan meminta Kementerian Luar memberikan maklumat lebih lengkap bagaimana namanya boleh tersenarai dalam pemerhatian FBI berkait aktiviti pengganas.
Beberapa hari lalu, tular satu surat dikeluarkan Kementerian Luar kepada Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan, Jismi Azhari Johari bahawa Abu Bakar, Ahmad Musa dan seorang lagi aktivis, masing-masing daripada tiga NGO Islam di negara ini disenaraikan dalam TSC oleh FBI.
Sementara itu Razarudin berkata, polis telah selesai mengambil keterangan pempengaruh media sosial Dd Chronicle berhubung video yang didakwa mempersendakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 baru-baru ini.
Menurutnya, Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, dipanggil ke Bukit Aman pada Khamis lalu untuk proses rakam keterangan selepas 49 laporan polis dibuat terhadapnya.
Katanya, kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (KUJAKA), Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial, didakwa mempersendakan agama dan menghina mahkamah selepas memuat naik video parodi dipercayai berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, baru-baru ini.


































