PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas penjual yang dikesan menjual produk penyedut hidung atau dikenali sebagai Energy Stick.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati, keluaran tersebut merupakan bukan keluaran berdaftar dan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
“Hasil saringan awal di platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada, KKM turut mengesan terdapat pengiklanan dan penjualan produk tersebut oleh penjual tempatan dan luar negara.
“KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk tersebut diturunkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini media melaporkan, Energy Stick yang kononnya dapat memberi tenaga dan kesegaran kepada penggunanya sedang giat dijual dan dipromosikan menerusi sosial media.
Produk itu didakwa popular dalam kalangan pelajar sekolah dan dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10 sahaja.
Mengulas lanjut, Muhammad Radzi menegaskan, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Menurutnya, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama serta denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya,” katanya.


































