Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) sedang menilai kesesuaian lokasi dua tapak taman perindustrian baharu yang dicadangkan di Kimanis dan di kawasan antara Kota Marudu dan Kota Belud.
Menterinya, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, MIDE juga akan menjalankan kajian pelan induk bagi kedua-dua taman perindustrian tersebut dalam tempoh yang terdekat.
“Kajian ini akan menjadi panduan kepada Kementerian saya untuk membangunkan taman perindustrian yang bersepadu dan inklusif serta berkonsepkan “plug and play” yang dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur dan fasiliti yang moden.
“Taman-taman perindustrian ini juga akan mempunyai sistem utiliti seperti air dan elektrik yang tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber bekalan daripada Jabatan Air Negeri Sabah dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB),” katanya ketika menggulung untuk MIDE pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Rabu.
Untuk memastikan kemasukan pelaburan yang berterusan ke Sabah, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk membangunkan taman perindustrian baharu di Kimanis dan juga di kawasan antara Kota Marudu dan Kota Belud memandangkan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) hampir dipenuhi oleh pelabur yang telah memberikan komitmen untuk melabur di taman-taman perindustrian tersebut.
Phoong berkata, Taman Perindustrian POIC Lahad Datu akan terus menjadi pemangkin kepada usaha untuk membangunkan sektor perindustrian di kawasan Pantai Timur.
Katanya, selain daripada kemudahan pelabuhan yang lengkap, POIC juga mempunyai kedudukan geografi yang strategik terletak di tengah-tengah laluan perkapalan Selat Lombok – Makasar.
“Kementerian saya juga telah berjaya mendapat kelulusan secara prinsip daripada Kementerian Kewangan Malaysia untuk melaksanakan Zon Bebas secara berfasa di kawasan tanah yang berkeluasan 3,000 ekar di Taman Perindustrian POIC Lahad Datu.
“Usaha ini pasti akan dapat membantu menjadikan POIC Lahad Datu sebagai hab logistik, pemprosesan, pengedaran dan pemindahan (transhipment) di rantau Asia Pasifik,” tambahnya.
Beliau berkata, MIDE juga telah mengenal pasti beberapa lagi sektor pelaburan yang berpotensi tinggi seperti industri pemprosesan dan pembuatan makanan; industri berasaskan teknologi hijau; industri hiliran biojisim (biomass) berasaskan kelapa sawit d. Industri peranti perubatan; dan lain-lain industri sokongan yang berkaitan.
Menurutnya, sektor pelaburan berpotensi tinggi yang dikenal pasti ini diyakini boleh dilaksanakan di Sabah memandangkan sumber bahan mentah (feedstock) boleh diperolehi di Sabah termasuk menggunakan bekalan elektrik dan air yang rendah.
“Kementerian saya amat mengalu-alukan pengumuman baru-baru ini oleh Perdana Menteri iaitu pelancong dari Negara China, India dan beberapa negara lain akan diberikan pengecualian visa selama 30 hari. Saya yakin ini akan menarik lagi ramai pelabur untuk datang melabur di Sabah.
“Kementerian saya juga akan mengambil langkah proaktif untuk menganjurkan satu business summit sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang melibatkan Kerajaan Negeri Sabah dan beberapa kerajaan Wilayah China.
“Kementerian saya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak swasta, dewan-dewan dan persatuan-persatuan perniagaan bagi merealisasikan usaha ini. Saya percaya melalui business summit ini kita akan dapat mewujudkan banyak peluang perdagangan dan pelaburan kedua pihak,” ujarnya.
Phoong berkata, sektor perindustrian dan menarik pelaburan masuk ke Sabah merupakan tonggak utama untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
Kata beliau, MIDE akan terus komited dan bertekad untuk menerajui usaha-usaha menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) demi mencapai matlamat Sabah menjadi salah sebuah negeri perindustrian di Malaysia.
“Usaha dan komitmen berterusan Kementerian saya bersama agensi berkaitan dalam menyelaras dan memudah cara pelaburan di Sabah sedikit-sebanyak telah membuahkan hasil.
“Setakat suku kedua bagi tahun 2023, Sabah telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM9 bilion yang merangkumi pelaburan dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan. Nilai pelaburan ini telah menjadikan Sabah sebagai negeri kelima tertinggi di Malaysia yang menerima pelaburan dalam tempoh tersebut,” jelasnya. .
Katanya, pelaburan dalam sektor pembuatan telah mencatatkan sejumlah RM1.3 bilion daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang dinyatakan.
Pelaburan dalam sektor pembuatan ini adalah didorong oleh pelaburan domestik dan ianya jelas menunjukkan bahawa pelabur domestik juga berminat untuk melabur di Sabah, katanya sambil menambah Kementeriannya yakin dan positif bahawa nilai pelaburan ini akan terus meningkat menjelang penghujung tahun ini.
“Komitmen dan penyelarasan proaktif Kementerian saya bersama agensi yang berkaitan melalui State Manufacturing Investment Task Force telah diterjemahkan kepada kejayaan Sabah untuk menarik beberapa pelabur asing dan domestic. Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd. telah mengeluarkan dan mengeksport kerajang tembaga pertamanya (first shipment) berjumlah 102 tan ke Amerika Syarikat dengan anggaran nilai produk berjumlah RM5.5 juta pada 23 Oktober 2023 yang lalu.
“Jumlah pengeluaran kerajang tembaga ini akan meningkat sehingga 57,000 tan setahun dengan anggaran nilai produk yang dihasilkan berjumlah RM2.8bilion apabila kilang ini beroperasi sepenuhnya kelak. Hal ini sekaligus akan meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah di samping nilai eksport Negeri Sabah akan bertambah.
“Hasil misi pelaburan saya ke Korea Selatan baru-baru ini telah menambah keyakinan Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd untuk terus meningkatkan dan mengembangkan pelaburannya di Sabah. Ini jelas dapat dilihat apabila pelabur tersebut melalui syarikat subsidiarinya iaitu Curix Sdn Bhd telah bersetuju untuk melabur bagi kilang copper granulation di KKIP dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM300 juta.
“Pelaburan ini akan menyokong pengoperasian kilang Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd di KKIP dan dijangka akan mewujudkan sebanyak 70 peluang pekerjaan dan pelbagai limpahan ekonomi,” katanya.
Phoon berkata, di samping itu, kilang pembuatan kaca solar Syarikat Kumpulan Kibing di KKIP yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 31 Oktober 2023 yang lalu dijangka turut akan mengeluarkan produk pertamanya pada suku pertama tahun 2024.
“Pengoperasian kilang ini juga sudah pasti akan meningkatkan sumbangan sektor pembuatan dalam KDNK Sabah dan seterusnya akan menaikkan lagi nilai eksport negeri ini.
“Kementerian saya amat menyambut baik saranan daripada ADUN Senallang dan Moyog agar pelaburan syarikat Kumpulan Kibing di Sabah tidak terhenti setakat pembuatan kaca solar sahaja, sebaliknya pelaburan syarikat pelabur ini turut meliputi keseluruhan pembuatan solar panel (PV Solar).
“Untuk makluman, sememangnya syarikat Kumpulan Kibing mempunyai hasrat untuk mengembangkan pelaburannya dalam pembuatan panel solar yang lengkap di Sabah. Hal ini jelas dapat dilihat melalui cadangan pelaburan terbaru yang dikemukakan oleh syarikat Kumpulan Kibing untuk melabur bagi kilang pembuatan polysilicon iaitu merupakan antara komponen utama dalam pembuatan solar panel tersebut.
“Anggaran nilai pelaburan bagi kilang pembuatan polysilicon ini adalah berjumlah USD1.16 bilion (RM5.42 bilion) melalui dua fasa pelaburan dengan sejumlah 3,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan melalui pelaburan ini.
“Pada masa ini, Kementerian saya sedang menyelaras cadangan pelaburan tersebut untuk memastikan ianya dapat direalisasikan sekaligus menjadikan Sabah sebagai antara pengeluar utama panel solar yang lengkap di rantau ini,” katanya.
MIDE diperuntukkan sebanyak RM64.11 juta di bawah Belanjawan 2024, iaitu RM26.11 juta untuk perbekalan dan RM38 juta untuk pembangunan.
Phoong berkata, ini yang mencerminkan kepentingan sektor perindustrian sebagai salah satu tunjang utama pembangunan ekonomi negeri di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, bagi peruntukan pembangunan sebanyak RM38.00 juta, ianya akan diagihkan kepada projek-projek di bawah agensi Kementerian seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) sebanyak RM8,910,080, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP Sdn. Bhd.) sebanyak RM12,387,358, POIC Sabah Sdn. Bhd. sebanyak RM13,000,030 dan Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) sebanyak RM3,399,157 bagi melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur dan yang berkaitan.
“Kementerian saya juga telah diberi peruntukan berjumlah RM300,000 untuk melaksanakan Projek Pembangunan Ekosistem dan Keupayaan Industri di Sabah yang merangkumi kursus-kursus peningkatan kapabiliti keusahawanan.
“Peruntukan daripada Kerajaan Negeri ini, diharap dapat mencapai misi Kementerian ini dalam membangunkan sektor perindustrian yang dinamik dan mampan melalui promosi pelaburan, menaik taraf infrastruktur perindustrian dan pembangunan keusahawanan.”
Phoong berkata, Kementeriannya akan memastikan agihan peruntukan yang telah diberikan akan dapat dioptimumkan dan dibelanjakan secara berhemah dengan memastikan infrastruktur dan kemudahan asas di semua taman-taman perindustrian ditambah baik agar lebih kompetitif dan berdaya saing untuk menarik lebih banyak pelaburan.
Selain itu, katanya, agihan peruntukan ini juga akan dibelanjakan secara berkesan untuk memperkasa serta meningkatkan kapasiti usahawan- usahawan di Sabah agar dapat menembusi pasaran antarabangsa.


































