KOTA KINABALU: Pembudayaan inovasi perlu dititikberatkan di setiap sektor dan unit dengan cara kerja yang berorientasikan visi dan misi.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata langkah itu penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) kekal kompetitif dan berdaya saing.
“Dalam era moden, inovasi menjadi tanda aras global yang mendorong kepada keupayaan penciptaan idea unik dan bermanfaat kepada pembangunan sesuatu bidang.
“Jika dahulunya semua dilakukan secara manual dan mengambil masa yang lama, kini sektor awam menawarkan pelbagai kemudahan dan kaedah yang semuanya boleh didapatkan di hujung jari.
“Perubahan penyampaian perkhidmatan yang dirasakan pada hari ini tidak mungkin tercapai tanpa penghasilan inovasi yang berterusan.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua jadikan pembudayaan inovasi sebagai agenda utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan Jabatan kepada pelanggan sentiasa cepat, cekap, dan berkesan seiring dengan perubahan teknologi dan corak pembangunan yang pesat,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Mini Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (MikoHKIK) JPNS 2023 di SM Lok Yuk Likas dekat sini, pada Selasa.
Menurut Arifin, pelaksanaan MiKoHKIK membuka ruang dan peluang kepada warga pendidikan khususnya untuk menzahirkan idea demi meningkatkan produktiviti dan pembangunan sektor dan unit masing-masing selaras dengan tema “Memperkasa Inovasi, Menjulang Produktiviti”.
Katanya, pemilihan kategori inovasi yang berfokuskan Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HBKIK) untuk dipertandingkan dalam mini konvensyen JPN Sabah itu amat bertepatan dengan sasaran peserta adalah penjawat awam yang berkhidmat di sektor awam yang melibatkan pengurusan.
“Seperti kita sedia maklum, setiap projek HBKIK yang dihasilkan hendaklah memenuhi salah satu daripada bidang inovasi sama ada Inovasi Sosial atau Inovasi Penyampaian Perkhidmatan.
“Inovasi Sosial adalah merangkumi kaedah penyelesaian baharu (idea, model dan perkhidmatan) yang mampu memenuhi kepentingan sosial dengan lebih berkesan dan mengutamakan penglibatan rakyat.
“Inovasi Penyampaian Perkhidmatan pula, merupakan terjemahan idea baharu yang kreatif dan inovatif untuk mentransformasikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan. Inovasi penyampaian perkhidmatan bermatlamat meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan ke arah penyampaian perkhidmatan yang bersepadu dan lancar serta meningkatkan kepuasan hati pelanggan,” jelasnya.
Beliau yakin program MiKoHKIK memberi keutamaan kepada penciptaan nilai, penambahan nilai, pengurangan kos, perkhidmatan yang memenuhi aspirasi dan harapan pelanggan serta berimpak tinggi disamping menampilkan idea yang unik serta pendekatan yang bersifat terbuka, unsur-unsur seperti keberkesanan, relevan dan signifikan juga telah diambil kira.
Tambahnya, Pengurusan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang cekap dan berkesan amat penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya dan menghasilkan impak positif kepada negara, sektor awam dan rakyat.
Arifin berharap konsep KIK berkenaan dapat memperkasakan budaya kerja secara inovatif dan kreatif umumnya dalam kalangan penjawat awam dan khasnya warga JPN Sabah sendiri seterusnya menyumbang kepada kenaikan Indeks Inovasi Global (GII) Malaysia.
Sementara itu, menurut Pengarah Pendidikan Sabah berkata yang diwakili Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Abidin Marjan memaklumkan bertujuan program dua hari tersebut adalah untuk memberi pengiktirafan serta penghargaan kepada mereka yang berjaya menghasilkan inovasi berbentuk HBKIK yang signifikan serta memberi impak yang besar kepada perkembangan dan kemajuan organisasi.
“Seiring dengan perubahan teknologi dan corak pembangunan yang pesat, Jabatan perlu sentiasa mengorak langkah untuk menggunakan pendekatan baharu dan menjurus kepada pemberian penyelesaian serta merungkaikan cara untuk melaksanakan sesuatu inisiatif secara menyeluruh dan efektif.
“Usaha membudayakan inovasi dan kreativiti perlu diterap menjadi amalan berterusan menerusi penjanaan lebih banyak idea baharu untuk menghasilkan perkhidmatan yang lebih baik untuk kepuasan pelanggan,” ujarnya.
Sebanyak 15 pasukan dipilih ke peringkat akhir yang terdiri daripada lima pasukan mewakili sektor dan 10 pasukan mewakili Pejabat Pendidikan Daerah bertanding dalam program terbabit.


































