Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual bertemu dengan pengurusan tertinggi syarikat teknologi terkemuka antarabangsa bagi memuktamadkan pelaburan berpotensi tinggi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia.
Langkah ini selaras dengan strategi dan objektif Rangka Kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, pertemuan itu berlangsung ketika Anwar menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) bermula Selasa ini.
“Pihak kementerian mengatur pertemuan satu dengan satu bersama pihak pengurusan tertinggi Google, Enovix, Microsoft dan TikTok di luar acara Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).
“Mesyuarat ini bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan berpotensi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia, selaras dengan strategi dan objektif yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selepas Arab Saudi, Perdana Menteri dijadual ke AS untuk mengetahui delegasi Malaysia ke APEC.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia di Dialog Ekonomi Tidak Rasmi Pemimpin Dengan Tetamu APEC iaitu pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC dan Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC.
“Acara ini akan bertindak sebagai peluang kepada Perdana Menteri untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai ekonomi global semasa dan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak dengan pemimpin APEC, ketua pegawai eksekutif yang berpengaruh dan usahawan yang berjaya,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul di luar acara AELM akan mengiringi Perdana Menteri ke Mesyuarat Pemimpin Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) Kedua pada 16 November ini.
IPEF rangka kerja kerjasama 14 negara di Indo-Pasifik, ditubuhkan di bawah pentadbiran Presiden Joseph Biden untuk menangani jangka panjang isu ekonomi, membolehkan rakan kongsi bertindak balas dengan pantas dan seiring dengan cabaran dan peluang global baharu.
Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya untuk mengukuhkan hubungan dua hala, bertukar-tukar idea untuk meningkatkan ekonomi integrasi dalam kalangan Ekonomi APEC serta membincangkan mengenai bagaimana perdagangan dan pelaburan boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian dalam mengimbangi kesan geopolitik dan kerumitan geoekonomi.


































