Nor Amalina Abdul Halim
KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini secara terbuka menerima permohonan maaf oleh seorang pemilik akaun TikTok dikenali sebagai @syukfendi yang memuatnaik rakaman siaran lintas langsung Berita Wilayah bagi zon Selatan dari studio RTM Melaka yang bersiaran pukul 5:00 petang Jumaat.
Muat naik berdurasi 18 saat itu memaparkan penyampai berita RTM Melaka (bukan pengacara seperti didakwa), Nor Amalina Abdul Halim disolek menyerupai pelakon filem seram Indonesia, mendiang Suzanna.
Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Md. Shahri Saripan menjelaskan hasil semakan pasukannya mendapati rakaman video asal berita tersebut yang disiarkan melalui platform RTMklik dan siaran di televisyen pada petang hari berkenaan tidak seperti yang ditularkan.
“Video yang tular itu seolah-oleh telah disunting semula, terutama solekan di bahagian lingkaran mata penyampai berita berkenaan” katanya dalam satu kenyataan pada kelmarin (Sabtu).
“RTM khususnya bahagian berita cukup terbuka dalam menerima pandangan, teguran atau nasihat orang ramai sebagai penonton setia semua program terbitan stesen ini. Bagaimana pun pandangan atau perkara yang sengaja ditularkan dengan sedikit tokok tambah adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab”.
Beliau menjelaskan pihaknya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan selanjutnya selepas individu terbabit memuatnaik kenyataan maaf di platform media sosial tersebut.
Bagaimana pun beliau mengingatkan pengguna-pengguna media sosial khususnya TikTok lebih cakna dan bijak dalam memuatnaik hantaran di akaun masing-masing pada masa hadapan.


































