Ketibaan Dr. Joachim (depan) di perkarangan Dewan SMK Bahang, Penampang.
PENAMPANG : Pemberian interim RM1.5 Bilion dijangka memberi impak yang positif terhadap pembangunan di negeri Sabah.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pemberian yang meningkat kepada RM1.5 Bilion berbanding RM600 juta sebelum ini memberi manfaat besar kepada pelaksanaan pembangunan di negeri ini.
“Kita boleh meningkatkan pembangunan terutama untuk membaiki ketiga-tiga masalah utama di Sabah seperti jalan raya, air, tenaga serta pembentungan.
“Ini yang kita perlukan segera sekarang selain daripada pembangunan-pembangunan yang lain.
“Jadi saya melihat, perkara tersebut adalah impak yang paling besar kepada rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sukan Tradisi Sempena Pesta Kaamatan Peringat Negeri 2026, di Dewan SMK Bahang, di sini pada Ahad.
Jelasnya, pemberian interim sebanyak RM1.5 Bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, baru-baru ini disambut baik rakyat negeri Sabah.
“Pengumuman tersebut sangat dihargai oleh rakyat Sabah dan seperti yang diumum Perdana Menteri, usaha itu sebagai langkah interim sebelum formula terakhir itu akan dimuktamadkan.
“Pihak yang bertanggungjawab yang diketuai Kementerian Kewangan, Ketua Bendahari Negara, Kementerian Kewangan Malaysia, Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Kementerian Kewangan Sabah meneliti formula tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, Anwar menyatakan Kerajaan Persekutuan komited untuk melaksana tuntutan seperti yang termaktub dalam perjanjian MA63 semasa berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang, pada Sabtu.






























