Ewon menyampaikan geran bantuan Tunas Usahwan Belia Bumiputera (TUBE) 9.0 kepada salah seorang penerima.
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick melancarkan pembiayaan Bumiputera MSMEs Financing Initiative (BMFI) khusus untuk alumni Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Beliau berkata, Program BMFI adalah bantuan pembiayaan baharu dilaksanakan oleh SME Corp dengan kerjasama Funding Societies Malaysia (Modalku Ventures Sdn Bhd).
“Ini adalah pembiayaan khas untuk Alumni TUBE yang berpotensi mengembangkan perniagaan masing-masing dengan kadar pinjaman yang sangat kompetitif iaitu sebanyak dua peratus dengan pembiayaan maksimum sehingga RM100,000.
“Saya berharap pembiayaan ini akan memberi manfaat kepada usahawan belia khususnya Alumni TUBE untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sesi Temu Mesra (Meet & Greet) bersama Alumni TUBE 2023 Sabah di Hotel Shangri-La Tanjung Aru, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, berdasarkan laporan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini, PMKS berjaya menyumbang 48 peratus kepada sektor guna tenaga rakyat negara ini termasuk PMKS di Sabah.
“Sebab itu, kita lancarkan pembiayaan BMFI supaya sektor PMKS terus berkembang dan memberikan pekerjaan kepada rakyat Malaysia.
“Seiring dengan perubahan arus perdana yang sangat mementingkan aspek inovasi, teknologi dan pendigitalan, para belia dan golongan muda perlu bersikap lebih proaktif untuk memajukan diri dan keluar daripada zon selesa sebagai ‘pencari pekerjaan’ kepada ‘penjana pekerjaan’,” katanya.
Sehubungan itu katanya, dalam Bajet 2024, sebanyak RM44 bilion diperuntukkan untuk kemudahan pinjaman dan pembiayaan kepada usahawan PMKS.
“Ini membuktikan komitmen besar kerajaan untuk memastikan syarikat PMKS terus berkembang bukan sekadar menyediakan pekerjaan kepada rakyat Malaysia tetapi menyumbang kepada KDNK seterusnya melonjakkan ekonomi negara agar lebih berdaya saing dan kalis cabaran,” katanya.
Sejak Program TUBE diperkenalkan pada tahun 2014, sejumlah RM20.65 juta nilai jualan berjaya direkodkan oleh alumni program itu.
Secara keseluruhan nilai jualan terkumpul yang dicatatkan oleh peserta TUBE dari seluruh negara adalah sebanyak RM154.38 juta.
Sementara itu, seramai 10 belia yang menjalankan pelbagai perniagaan di negeri ini menerima geran bantuan Tunas Usahwan Belia Bumiputera (TUBE) 9.0 berjumlah RM300,000 daripada SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Penyampaian geran itu disempurnakan oleh Ewon yang berkata, pelbagai agensi di bawah kementeriannya menyediakan skim-skim pembiayaan khusus untuk pembangunan keusahawanan belia, antaranya Program TUBE dan Skim Pembiayaan Mobilepreneur yang dilaksanakan oleh TEKUN Nasional.
“Dalam Belanjawan 2024, Program TUBE diberikan peruntukan sebanyak RM20 juta. Program ini adalah inisiatif kerajaan bagi menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang perniagaan.
“Sasaran program ini adalah belia bumiputera berumur antara 18 hingga 30 tahun dan mempunyai minat dalam keusahawanan, khususnya mereka yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan.
“Program TUBE secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan,” katanya.
Ewon berharap, melalui program ini dapat menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang keusahawanan, memiliki perniagaan sendiri seterusnya mencipta peluang pekerjaan.
“Penyaluran geran kepada peserta TUBE Sabah adalah yang tertinggi setiap kali program ini diadakan dan ini menunjukkan minat yang tinggi belia Bumiputera Sabah dalam bidang keusahawanan.
“Sehingga kini seramai 7,738 peserta TUBE telah dilatih dan daripada jumlah itu, 1,157 (16.4%) berjaya mendaftarkan perniagaan dan sebanyak 2,039 peluang pekerjaan telah diwujudkan. Peserta TUBE Sabah juga berjaya menjana nilai jualan terkumpul sebanyak RM20.6 juta,” katanya.
Beliau berkata, selain Program TUBE, TEKUN Nasional juga mempunyai skim khusus untuk belia iaitu Skim TEKUN Belia Mobileprenuer dan dalam Belanjawan 2024, diperuntukkan RM10 juta bagi membiayai modal bagi merka yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal dan platform digital.
“Peruntukan RM720 juta juga dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan oleh pelbagai kementerian dan agensi,” katanya.
Beliau berkata, KUSKOP akan terus komited dan responsif dalam usaha membantu golongan belia meningkatkan prestasi dan skala perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.