Elica bersama Benn Simon Bukag
Ramai tidak tahu kisah di sebalik penghasilan lagu berhantu bertajuk ‘Momuhobo’ nyanyian Elica Paujin.
Pernahkah anda semua terfikir, bahawa ilham di sebalik penciptaan lagu kesukaan ramai itu sebenarnya mempunyai kisah lucunya tersendiri, bukan suka-suka, dan bukan disengajakan?
@femes Warta Oriental berjaya merungkai kisah sebenarnya menerusi komposer lagu dan lirik lagu tersebut sendiri, Benn Simon Bukag, dalam satu temubual ringkas baharu-baharu ini.
Kisah terjadi di studio lamanya dahulu, di kawasan daerah Sepanggar, sekitar dua tahun lalu.
Ketika sedang memasak Ayam Masak Merah kegemarannya, Benn telah terlebih menuang kandungan sos tomato pada masakannya.
Alamak. Apa kaitan?
Terkejut dan tergamam waktu itu, Benn telah melatah dan secara spontan, nada berbunyi ‘Na na na na na na na na na na na na na na’ telah ‘terhasil’ ketika situasi tersebut berlaku.
Lucu kan. Tapi begitulah kisah yang sebenarnya.
Namun, siapa menyangka melodi yang terhasil tanpa sengaja itulah yang telah memberi impak di dalam lagu ‘Momuhobo’, yang kini berjaya mencecah jutaan tontonan di laman sosial Youtube itu.
“Nanananana” itulah sebenarnya yang telah menghasilkan nada paling tinggi dalam lagu Momuhobo,” katanya.
Biasalah, sebagai seorang penggubah muzik, pencipta lagu dan lirik, sudah pasti Benn telah menambah perisa di dalam muzik, lagu dan lirik itu sehinggalah berjaya menjadi sebuah karya lagu.
Tidak berhenti setakat itu, pemilik Benn’s Studio ini juga pandai memilih artis yang dirasai paling sesuai menyanyikan lagu tersebut.
Kebetulan pula pada ketika itu, penyanyi Elica Paujin masih meletup dengan lagu ciptaan Benn bertajuk ‘Araatan’.
“Sebelum ini, saya sebenarnya telah menerima satu pesanan daripada Elica, untuk menghasilkan satu lagi lagu baharu yang lebih mencabar daripada lagu Araatan.
“Saya tahu, dia ni terkenal dengan nada vokal tinggi, jadi bila berlakunya insiden Ayam Masak Merah tu (sambil berseloroh), dia turut mendapat ilham untuk cuba menggabungkan ketinggian vokal Elica dengan nafas panjang, maka terjadilah hasilnya di dalam lirik lagu “Om pologoson oku noh tumoguang tadauku doh suab”, kata Benn.
Sudah pasti pilihan Benn amat bertepatan, malah Elica telah membawa lagu ini dengan begitu mantap.
Jadi, benarlah.
Terkadang, kreativiti sebenarnya mampu muncul dari momen-momen tak terduga seperti ini.
Kejutan dalam proses kreatif mampu menghasilkan sesuatu yang menarik, sehingga mendapat sambutan besar dari penonton.
Maka, tidak hairanlah kini lagu itu mendapat tontonan lebih 10 juta (audio) dan 1.2 juta (video) di Youtube.
Ditanya mengenai perkembangan terkini, Benn rupanya masih berada di Kuala Lumpur bagi membantu proses menyiapkan sebuah studio milik seorang anak tempatan Sabah di sana.
Apa pun, bagi @femes, keberhasilan Momuhobo dan kontribusinya sebagai komposer, penulis lirik, penerbit, pemuzik dan penyanyi, Benn Simon kini menjadi sosok berpengaruh di dalam perkembangan muzik bukan sahaja di Sabah, malah di Malaysia.
Selamat berjaya kepada Benn Simon Bukag! Semoga kisah kejayaannya menjadi sumber inspirasi bagi penggiat seni muzik di Sabah dan seluruh Malaysia.
Harapan penulis, prestasi Benn dapat mendorong lebih banyak lagi bakat tempatan untuk menghasilkan karya-karya yang agung dan membanggakan, menjadikan Sabah semakin dikenali di peringkat global dalam dunia seni muzik.
Tapi, apa pun, jangan lupa ambil masa berehat ya Benn.
Momuhobo po toruhai.


































