KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah telah melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 di Pasaraya Emart Lintas Jaya, di sini, kelmarin. (gambar)
Pengarahnya, Georgie Abas yang melancarkan skim itu berkata, pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 ini berkuasa bermula hari ini hingga 15 November 2023 dan tempoh pelaksanaannya adalah selama tujuh hari iaitu, tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.
Menurutnya, skim ini dikuatkuasakan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Deepavali serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.

Katanya, pelaksanaan skim ini juga bertujuan untuk memaklumkan kepada rakyat tentang langkah Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.
Senarai barangan harga terkawal bagi SHMMP Deepavali 2023 adalah seperti berikut:
SHMMP Deepavali 2023
(1) Daging Kambing Biri-Biri Bertulang Import
(2) Tomato
(3) Cili Merah
(4) Bawang Merah Kecil (India) Tidak Termasuk Ros
(5) Bawang Merah Besar Import
(6) Kacang Dal (Australia)
(7) Kelapa Biji (*Harga maksimum di peringkat borong sahaja)
(8) Kelapa Parut (*Harga maksimum di peringkat runcit sahaja)

Georgie berkata, sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023, adalah menjadi kewajipan peniaga untuk mematuhi peraturan berikut:
i. Menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan;
ii. Meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan barangan lain;
iii. Mempamerkan tanda harga ke atas semua barangan yang dijual;
iv. Memastikan bekalan barangan mencukupi di pasaran; dan
v. Mengguna alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan.

Katanya, anggota penguat kuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Deepavali 2023 serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang telah ditetapkan.
“Berdasarkan statistik pemeriksaan di bawah SHMMP (Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa, dan Pesta Kaamatan) yang telah dilaksanakan sepanjang tahun ini, sebanyak 3,521 premis telah diperiksa di seluruh Sabah dan empat kes dihasilkan atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dengan nilai kompaun sebanyak RM700 dan nilai rampasan sebanyak RM684.60,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Beliau mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini.

Katanya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
i. Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;
ii. kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
iii. Kesalahan gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual
a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000 dan penjara 2 tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM25,000; dan
b) syarikat; boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.
KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga. Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran aduan seperti berikut:
1) Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000;
2) Portal Aduan: e-aduan.kpdn.gov.my;
3) Call Centre 1-800-886-800;
4) Emel: e-aduan@kpdn.gov.my ;
5) Ez ADU KPDN;
6) Hadir sendiri ke Pejabat KPDN yang berdekatan;
7) Pusat Arahan Penguat kuasaan (Enforcement Command
Centre): 03 – 8882 6088 / 6245;
8) Surat Rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan; dan Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri (senarai nombor talian sila layari portal rasmi)
Turut hadir ialah Pengurus Pasaraya Emart Lintas Jaya, Wong Yick Hua dan para pegawai kanan KPDN Sabah.


































