Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Hanya 39.4 peratus atau RM2.6 bilion daripada RM6.5 bilion yang diperuntukkan sebagai peruntukan pembangunan untuk Sabah bagi tahun ini telah dibelanjakan setakat 30 September.
Justeru, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya memohon agar peruntukan yang tidak habis digunakan itu dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Negeri Sabah yang telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Disember tahun lalu.
“Setiap tahun, peruntukan pembangunan bagi Sabah ada disediakan dalam bajet tahunan. Namun demikian, lazimnya setiap tahun, bajet pembangunan yang diperuntukkan itu tidak habis digunakan. Bagi tahun 2023, setakat 30 September baru 39.4 peratus atau sekitar RM2.6 billion daripada RM6.5 bilion yang diperuntukkan telah dibelanjakan. Oleh yang demikian peruntukan yang tidak habis digunakan itu dipohon agar dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Negeri yang telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini.
“Dengan demikian, maka pengumuman bajet pembangunan tahunan akan dapat digunakan sepenuhnya untuk projek-projek yang telah dirancang pada tahun tersebut. Maka dengan itu, pengumuman peruntukan Persekutuan bagi tahun-tahun berikutnya juga akan berupa bajet bagi projek-projek yang baharu,” katanya.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah menjelaskan, cabaran dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan yang telah dikenal pasti adalah dipengaruhi oleh beberapa perkara seperti berikut iaitu masalah kewangan pihak kontraktor; isu tanah/tapak projek; keupayaan agensi pelaksana; pengalihan utility; bencana alam/kejadian luar jangka; dan kelemahan perancangan projek.
“Jika dilihat setiap tahun Kerajaan mengumumkan satu bajet yang ‘substantial’ tetapi pada hakikatnya di penghujung tahun, bajet tersebut tidak habis digunakan.
“Saya mencadangkan agar unit pengurusan projek dan pengurusan risiko diberi peranan yang utama di dalam Kementerian Kerajaan bagi memastikan bahawa setiap projek-projek pembangunan yang dicadangkan/dirancang dapat dilaksanakan dengan keadaan yang lebih efisien dan efektif,” katanya yang juga ADUN Tanjung Keramat.


































