KUALA LUMPUR: Motif kes pembunuhan tiga warga Sri Lanka di sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul pada 22 September lalu dipercayai berpunca daripada masalah wang dan hutang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya telah menyelesaikan siasatan kes tersebut dan mendapat arahan menuduh empat suspek utama.
“Pagi tadi (kelmarin) kita telah menuduh empat suspek iaitu pasangan suami isteri yang ditahan pada hari kejadian serta dua lelaki warga Sri Lanka manakala empat lagi suspek dipercayai memberi perlindungan dibebaskan.
“Kita percaya motif kejadian dipercayai akibat isu wang berkait hutang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul di sini kelmarin.
Menurut Allaudeen, hasil bedah siasat mendapati punca kematian ketiga-tiga mangsa dipercayai akibat lemas.
“Kita percaya mereka diikat sebelum dilemaskan. Bagaimanapun, tiada sebarang kesan didera ditemukan pada badan mangsa,” katanya.
Pada 23 September lalu, media melaporkan, polis menemukan mayat warga Sri Lanka di bilik stor di lokasi kejadian selepas pihak polis menerima panggilan berkaitan satu pergaduhan pada 22 September.
Ketiga-tiga mayat itu diletakkan dalam keadaan bertindan, diikat kaki dan tangan manakala kepala mereka ditutup dengan plastik selain seorang daripada mangsa ditemukan dalam keadaan bogel.
Susulan itu, polis menahan pasangan suami isteri dipercayai ibu bapa kepada salah seorang mangsa ketika hari kejadian manakala dua suspek utama ditahan pada 25 September di Hulu Langat.
Empat suspek yang terdiri daripada tiga warga Sri Lanka dan seorang Pakistan berusia 20-an hingga 40-an ditahan di Petaling Jaya di sini dipercayai memberi perlindungan kepada dua suspek utama.
Bagaimanapun seorang daripada suspek berusia 43 tahun yang ditahan pada 23 September lalu meninggal dunia ketika dalam tahanan Lokap Berpusat Jinjang, 30 September lalu kira-kira pukul 11 malam, mangsa mengadu sakit dada.































