Murid-murid dari SK St Paul Beaufort turut serta menyambut kehadiran peserta-peserta Konvoi KMJG Sabah di Dataran Begandang.
BEAUFORT: Masyarakat diseru untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan kibaran Jalur Gemilang.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasnih berkata, dengan mengibarkan Jalur Gemilang ia boleh menonjolkan rasa cinta kita kepada tanahair.
“Semangat cintakan tanahair boleh direalisasikan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, permis-permis kerajaan dan swasta.

Mohd Nazri (kiri) dan Isnin (kanan) mengiringi Jainisah (tengah) dan rombongan KMJG Sabah ketika tiba di Dataran Begandang.
“Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Sabah 2023 yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan merupakan satu program yang baik bagi menanamkan semangat cintakan tanah air dengan mengingati peristiwa kemerdekaan negara dengan kibaran Jalur Gemilang yang kini telah mencecah sambutan ke-66 tahun.
“Saya menyeru kepada semua pihak terutama masyarakat khususnya di daerah ini supaya kita bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang agar kita menghayati betapa besarnya erti kemerdekaan itu.
“Ini menunjukkan betapa erti kemerdekaan yang kita lalui itu adalah diraih dengan perit jerih oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu.
“Kadang-kadang masyarakat kita lupa betapa berharganya dan tinggi nilainya bendera negara kita itu untuk kita kibarkan sepanjang masa.
“Inilah yang saya ingin ingatkan kepada semua masyarakat supaya kita kibarkan Jalur Gemilang sebanyak yang mungkin di kawasan perumahan, kedai dan kawasan-kawasan yang strategik agar aura dan semangat kemerdekaan itu dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat terutama generasi muda,” katanya ketika merasmikan Program KMJG Peringkat Daerah Beaufort disini pada Isnin.
Pada majlis tersebut Isnin dan Pegawai Daerah Beaufort Mohd Nazri Ajun telah menyambut kehadiran rombongan peserta Konvoi KMJG yang diketuai Pengarah Penerangan Sabah Janisah Mohd Noor di Dataran Begandang yang merupakan destinasi persinggahan ke 38.
Turut diadakan pada majlis tersebut adalah nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan lagu kebesaran negeri Sabah Tanah Airku, penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan,
menandatangani buku lawatan Konvoi KMJG Negeri Sabah 2023 sebelum Isnin menyempurnakan pelepasan konvoi yang meneruskan perjalanan ke Tanjung Klias dan Tapak Pesta Nelayan di Daerah Kecil Menumbok.
Hadir sama, Pegawai Penerangan Daerah Beaufort Suhaili Awang.































