Limus (dua dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil Pejabat Daerah Kecil Menumbok untuk dikibarkan di TPB Sabah.
MENUMBOK: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Negeri Sabah 2023 mengibarkan Jalur Gemilang di titik paling barat (TPB) Sabah.
Terletak di Tanjung Klias, lokasi tersebut menjadi perhentian ke-39 konvoi yang diketuai Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor selepas berhenti di dua perhentian.
TPB Sabah merujuk kepada titik yang terletak di kedudukan paling barat atau nilai longitud (timuran) paling kecil di tanah besar Sabah.
Titik yang terletak di Tanjung Klias daerah Kecil Menumbok itu juga telah diiktiraf selepas Jupem menggunakan kaedah kerja dengan cerapan Global Navigation Satellite System dan terabas kawalan yang menunjukkan kawasan pantai di situ merupakan TPB di Sabah.

Sesi foto bersama peserta KMJG.
Di hentian berkenaan, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Jury menyempurnakan gimik penyerahan Jalur Gemilang untuk di kibarkan di TPB Sabah terbabit.
“Sebentar tadi kita mengibarkan Jalur Gemilang di TPB di Sabah iaitu di Tanjung Klias.dan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan (JaPen) dan juga Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (Jupem) yang terlibat tadi dalam acara kita dalam mengibarkan Jalur Gemilang di Tanjung Klias.
Limus berkata demikian semasa ditemui media selepas merasmikan Pelancaran Konvoi KMJG Negeri Sabah 2023 Peringkat Daerah Kecil Menumbok.
Beliau sempat mengingatkan masyarakat khususnya penjawat awam agar bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sekaligus menjadi contoh kepada generasi yang akan datang.