Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR (Bernama): Kajian kebolehlaksanaan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah yang berpotensi menghubungkan Wilayah Persekutuan Labuan dengan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo Sabah selesai pada 15 Nov lepas, dengan hasilnya dijangka dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) tahun depan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kajian yang bermula pada 16 Mei 2025 itu dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) atas permintaan Kementerian Wilayah Persekutuan selepas diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 2025.
Beliau berkata hasil kajian berkenaan akan dibentangkan dalam mesyuarat MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan pertimbangan lanjut dibuat berhubung cadangan projek mega itu.
“Kaedah pelaksanaan projek fizikal dan kaedah pembiayaan yang sesuai hanya akan dapat ditentukan setelah hasil kajian ini selesai dibentangkan dalam mesyuarat MPFN tahun depan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) mengenai kesediaan kerajaan mempertimbangkan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok sebagai sebahagian daripada rangkaian strategik Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Nanta berkata pelaksanaan projek berkenaan memerlukan penglibatan beberapa kementerian termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Wilayah Persekutuan, manakala KKR berperanan melaksanakan kajian teknikal.
Menjawab soalan tambahan Suhaili mengenai sasaran permulaan projek dan kaedah pembiayaannya, beliau berkata perancangan tahun pelaksanaan hanya dapat dimuktamadkan sekiranya projek fizikal diluluskan agensi pusat, selain tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan.
Beliau berkata sekiranya dibina, jambatan itu dijangka menghubungkan Labuan secara terus ke Jalan Menumbok di Sabah sebelum bersambung ke persimpangan Lebuhraya Pan Borneo di Beaufort menerusi rangkaian jalan sepanjang kira-kira 70 kilometer (km).
Sementara itu, Nanta berkata kerajaan telah meluluskan RM100 juta di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) RMK12 bagi projek menaik taraf Jalan Beaufort-Menumbok (R502), dari Bulatan Binkul ke persimpangan Terminal Feri Menumbok di Kuala Penyok, Sabah.
“Skop projek itu merangkumi kerja menaik taraf jalan sepanjang 1.1 km dari Sekolah Agama Negeri Menumbok ke Terminal Feri Menumbok, selain pembaikan struktur turapan jalan dan kerja cerun di lokasi terpilih.
“Jalan ini penting sebagai medium sambungan perhubungan antara Sabah dan Wilayah Persekutuan melalui laluan feri buat masa ini, selain menjadi rangkaian penghubung antara Lebuhraya Pan Borneo dengan cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah,” katanya yang turut memaklumkan kerajaan telah meluluskan RM22 juta bagi projek menaik taraf jeti terminal feri kenderaan dan penumpang di Labuan. — BERNAMA

































