Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa penambahbaikan kemudahan pengangkutan dan infrastruktur di kawasan itu, termasuk memperluas perkhidmatan bas BAS.MY (Bas Pink) ke Tuaran serta menyediakan pelan pemulihan yang jelas bagi setiap pakej projek Lebuhraya Pan Borneo yang mengalami kelewatan di Sabah.
Beliau berkata Kementerian Pengangkutan perlu memperluas rangkaian perkhidmatan Bas Pink yang kini beroperasi di Kota Kinabalu ke koridor Tuaran-Telipok-Menggatal-Kota Kinabalu, selain menyediakan perkhidmatan bas pengantara dari Tamparuli mengikut keperluan dan kesesuaian jalan.
Katanya, perkhidmatan bas yang mempunyai jadual perjalanan tetap amat penting bagi membantu golongan pekerja, pelajar dan warga emas yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk urusan harian.
Perkhidmatan bas yang tidak menentu menyebabkan keluarga terpaksa mencari alternatif pengangkutan sendiri, sekali gus meningkatkan beban perbelanjaan harian mereka.
“Kita menghargai BAS.MY di Kota Kinabalu. Kita mahu rangkaian berjadual ini diperluas ke koridor Tuaran-Telipok-Menggatal-Kota Kinabalu,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pengangkutan di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata peluasan itu bukan sahaja meningkatkan kemudahan perhubungan antara Tuaran, Tamparuli dan Kota Kinabalu, malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta membantu mengatasi kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan.
Madius turut meminta kementerian melibatkan pengusaha pengangkutan tempatan dan menyelaraskan jadual perjalanan bas dengan waktu bekerja serta persekolahan bagi memastikan perkhidmatan itu memenuhi keperluan masyarakat.
Beliau juga meminta komitmen Menteri Pengangkutan supaya peluasan perkhidmatan berkenaan dimulakan pada 2027, dengan menetapkan laluan, kekerapan perjalanan dan tarikh operasi.
“Bolehkah Menteri memberikan komitmen peluasan ini bermula pada 2027, dengan menyatakan laluan, kekerapan dan tarikh operasinya? Rakyat mahu tahu bila bas datang dan bila mereka boleh sampai,” katanya.
Sementara itu, berhubung projek Lebuhraya Pan Borneo, Madius meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan pelan pemulihan yang jelas bagi setiap pakej projek yang mengalami kelewatan di Sabah.
Katanya, rakyat sudah terlalu lama menanggung kesulitan akibat pembinaan yang berlarutan dan berhak mengetahui faktor sebenar yang menyebabkan kelewatan projek infrastruktur berkenaan.
Beliau berkata antara isu yang sering dikaitkan dengan kelewatan projek ialah masalah pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan prestasi kontraktor.
“Rakyat mahu tahu bagaimana masalah ini akan diselesaikan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi KKR di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau turut mempersoalkan mengapa isu pengambilan tanah dan pemindahan utiliti masih menjadi halangan walaupun kerja pembinaan sudah dimulakan.
Pada masa sama, beliau meminta kementerian menjelaskan sama ada kontraktor mempunyai tenaga kerja, jentera dan bahan binaan yang mencukupi di kawasan yang sudah tersedia untuk pembinaan.
Bagi memastikan kelewatan dapat ditangani secara sistematik, Madius mencadangkan setiap pakej bermasalah mempunyai pelan pemulihan yang memperincikan halangan dihadapi, pihak bertanggungjawab, tarikh penyelesaian dan sasaran penyiapan.
Beliau turut meminta kementerian mengemukakan penjelasan secara bertulis mengenai setiap lanjutan masa (EOT), khususnya bagi pakej yang melalui kawasan Tuaran, supaya kemajuan projek dapat dipantau dengan lebih berkesan.
Katanya, setiap masalah pelaksanaan perlu disusuli penyelesaian yang mempunyai garis masa dan tanggungjawab jelas, bukan sekadar penjelasan mengenai punca kelewatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Madius mencadangkan supaya jajaran Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 bagi laluan Tamparuli-Ranau melalui Telipok, Kiulu dan Pukak sebelum menuju ke Kilimu, Ranau.
Beliau berkata jajaran berkenaan perlu dimuktamadkan lebih awal bagi membolehkan perancangan reka bentuk, pengambilan tanah dan pemindahan utiliti disusun sebelum kerja pembinaan dimulakan.
“Tuaran mahu jajaran melalui Kiulu dimuktamadkan. Tuaran mencadangkan jajaran bermula dari Telipok, melalui Kiulu dan Pukak, kemudian menuju Kilimu, Ranau,” katanya.
Madius berkata cadangan itu perlu dinilai kementerian berdasarkan aspek keselamatan, keadaan tanah dan cerun, kos serta manfaat kepada penduduk setempat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Tamparuli menekankan kepentingan melibatkan kampung-kampung yang bakal terkesan dalam proses perancangan bagi memastikan urusan tanah dan keperluan penduduk dapat ditangani lebih awal.
Katanya, pengalaman kelewatan pelaksanaan projek Pan Borneo sedia ada perlu dijadikan pengajaran supaya isu pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan masalah pelaksanaan tidak berulang dalam fasa seterusnya.
Beliau turut meminta kementerian menyatakan pendirian terhadap cadangan jajaran itu, bilakah ia boleh dimuktamadkan serta peruntukan yang disediakan pada 2027 bagi kerja-kerja persediaan.
Madius, yang juga Presiden Kehormat UPKO Malaysia, berkata pembangunan infrastruktur perlu mengambil kira keperluan masyarakat setempat supaya manfaat projek dapat dinikmati penduduk di sepanjang laluan yang dicadangkan.
Beliau berkata kemudahan pengangkutan awam yang cekap dan tersusun serta pelaksanaan projek infrastruktur mengikut jadual penting bagi memudahkan pergerakan harian, mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah dan menyokong aktiviti ekonomi penduduk.


































