Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles
KENINGAU: Penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan keselamatan perlu dipertingkatkan secara berterusan bagi membendung pemilikan serta penggunaan senjata api secara haram, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, demi melindungi nyawa serta keselamatan masyarakat.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) Haji Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata langkah itu penting bagi memastikan tragedi membabitkan kehilangan nyawa akibat penggunaan senjata tanpa kawalan tidak berulang.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) P180 Keningau berkata demikian bagi menyokong pendirian Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Keningau Datuk Azman Haji Ruslan yang menggesa penguatkuasaan dan pemantauan keselamatan dipertingkatkan bagi membendung kegiatan berkenaan.
Menurutnya, pemilikan senjata api tanpa kebenaran merupakan isu serius yang memerlukan perhatian semua pihak kerana berpotensi mengancam keselamatan penduduk serta membawa risiko kehilangan nyawa.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap tindakan pantas dan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya merampas 42 pucuk senapang angin dan 456 butir peluru di daerah Sook.
Katanya, kejadian tragis membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang maut akibat terkena tembakan senjata buatan sendiri di Sook baru-baru ini perlu dijadikan peringatan serius kepada masyarakat supaya tidak memandang ringan bahaya pemilikan dan penggunaan senjata tanpa kawalan.
“Peristiwa ini amat menyedihkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kehilangan nyawa seorang kanak-kanak. Kita tidak mahu kejadian seumpama ini berulang dan meragut nyawa insan yang tidak berdosa.
“Keselamatan masyarakat mesti menjadi keutamaan bersama. Pencegahan perlu dilaksanakan secara berterusan dan bukan hanya selepas berlakunya sesuatu tragedi,” katanya.
Yazid berkata pendekatan menangani isu berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui penguatkuasaan undang-undang, pemantauan berkala, pendidikan keselamatan serta kerjasama erat antara pihak berkuasa dengan pemimpin dan komuniti setempat.
Menurutnya, penduduk di kawasan pedalaman juga berhak menikmati kehidupan dalam persekitaran aman, selamat dan bebas daripada ancaman jenayah serta penyalahgunaan senjata.
Beliau turut menyeru ketua kampung, pemimpin masyarakat, persatuan penduduk dan seluruh komuniti supaya memainkan peranan aktif dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui kegiatan pemilikan atau penggunaan senjata api yang mencurigakan.
“Kerjasama masyarakat amat penting. Kita tidak boleh menyerahkan tanggungjawab keselamatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, sebaliknya perlu bersama-sama membantu mencegah perkara yang boleh mengancam nyawa dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Yazid turut merakamkan penghargaan kepada PDRM atas komitmen dan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan, selain berharap usaha pemantauan serta pencegahan dapat dipertingkatkan secara konsisten di seluruh kawasan Keningau, termasuk Bingkor dan Sook.
Beliau menegaskan keamanan dan keselamatan merupakan asas kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan komuniti yang harmoni.
“Jangan tunggu sehingga tragedi berlaku untuk kita bertindak. Keselamatan nyawa dan kesejahteraan masyarakat adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
































