Juliah bergambar kenangan bersama peserta Majlis Mini Konvokesyen Unit Pendidikan Kemahiran dan Pembangunan Insan KEMAS Daerah Tuaran.
KOTA KINABALU: Bidang kemahiran menjadi antara pemacu utama pembangunan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi, selain berpotensi melahirkan usahawan tempatan serta meningkatkan taraf ekonomi keluarga, khususnya dalam kalangan wanita dan masyarakat luar bandar.
Isteri Ketua Menteri Datin Seri Hajah Juliah Salag berkata Kerajaan Negeri sentiasa memberikan penekanan terhadap pembangunan modal insan menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, program kemahiran anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam bidang jahitan, masakan, dandanan diri dan seni tangan terbukti berupaya melahirkan usahawan tempatan.
“Kemahiran yang dimiliki pada hari ini bukan sekadar sekeping sijil, tetapi merupakan aset bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Mini Konvokesyen Pendidikan Kemahiran dan Pembangunan Insan KEMAS Daerah Tuaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Juliah berkata, pembangunan modal insan bukan sahaja memerlukan kemudahan fizikal dan pembangunan infrastruktur, malah perlu memberi perhatian kepada pembangunan insan secara menyeluruh, termasuk aspek kerohanian.
“Kita mahu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga memiliki kekuatan rohani, akhlak yang mulia serta nilai-nilai murni dalam kehidupan.
“Keseimbangan ini penting bagi membina keluarga yang sejahtera, komuniti yang harmoni dan masyarakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Juliah yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS berharap peserta dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk menceburi bidang keusahawanan serta tidak takut memulakan perniagaan.
“Manfaatkan platform digital bagi meluaskan pasaran, di samping terus berinovasi dan kreatif dalam menghasilkan produk serta menawarkan perkhidmatan yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata konvokesyen itu bukanlah titik akhir dalam perjalanan menimba ilmu, sebaliknya menjadi permulaan kepada peluang lebih luas untuk terus maju dan berjaya.
































