IPOH (Bernama): Seorang lelaki maut dipercayai ditetak dengan parang di hadapan sebuah kedai di Teluk Intan dalam kejadian petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata polis menerima panggilan pada 3.53 petang semalam daripada orang awam, mengenai kejadian itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 48 tahun telah diserang tiga lelaki menggunakan parang dan mangsa telah dikejarkan ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan.
“Walau bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu polis menahan seorang wanita warga tempatan berusia 27 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu, termasuk maklumat pergerakan individu atau kenderaan yang mencurigakan di sekitar lokasi kejadian tampil membantu siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hilir Perak menerusi talian 05-6299222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian ini yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya. — BERNAMA
































