PUTRAJAYA (Bernama): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk, kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM1 juta kepada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumber memaklumkan pemilik syarikat bergelar Datuk itu bersama dengan dua wanita terdiri daripada guru tuisyen dan pegawai pemasaran berusia 30 hingga 50-an itu, ditahan kira-kira 4 petang pada 1 Nov di beberapa lokasi berasingan sekitar Putrajaya, Selangor dan Johor.
“Kesemua suspek dipercayai memberi rasuah kepada beberapa anggota lain-lain pangkat dan pegawai PDRM, sebagai balasan melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyeludupan rokok haram.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak 2020 hingga kini,” menurut sumber.
Sumber memaklumkan kesemua suspek dipercayai bertindak sebagai orang tengah dan memberikan wang rasuah sebagai balasan, untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyeludupan rokok haram di sekitar negeri Pantai Timur dan Lembah Klang.
Melalui siasatan yang dijalankan, SPRM melalui Bahagian Perisikan dengan kerjasama PDRM telah mengeledah beberapa lokasi, yang terdiri daripada premis pejabat dan kediaman suspek.
“Dalam operasi tersebut SPRM telah menyita empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM600,000, empat unit telefon bimbit serta satu unit komputer riba.
“Melalui operasi itu juga, SPRM turut membekukan 20 akaun bank persendirian serta sembilan akaun bank syarikat, yang berjumlah kira-kira RM1.5 juta,” menurut sumber.
Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 2 hingga 5 Nov, selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada 2 Nov.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. — BERNAMA
































