Abang Johari Tun Openg
KUCHING (BERNAMA): Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peningkatan peruntukan Persekutuan kepada Sarawak menerusi Belanjawan 2027.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat atas peningkatan peruntukan tahunan untuk Sarawak kepada RM16.2 bilion,” katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa bersempena dengan Sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka, di sini hari ini.
Semalam, dalam pembentangan Belanjawan 2027, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM18.7 bilion untuk Sabah dan RM16.2 bilion untuk Sarawak bagi 2027, manakala di bawah Belanjawan 2026, Sabah menerima peruntukan RM17.6 bilion, manakala Sarawak memperoleh RM15.1 bilion.
Sementara itu, Abang Johari berkata sepanjang perjalanan kerjaya dalam bidang keselamatan, politik dan pentadbiran sebagai anggota Kabinet Persekutuan, Tun Dr Wan Junaidi telah melalui pelbagai peristiwa penting yang membentuk sejarah negara dan Sarawak.
Premier Sarawak itu berkata pengalaman luas beliau dalam bidang keselamatan, perundangan, perlembagaan serta pentadbiran memberikan perspektif menyeluruh dalam memahami dinamika pemerintahan, selain cabaran dan tanggungjawab dalam memastikan kestabilan serta kemajuan negeri dan negara.
Sebanyak 107 kontinjen daripada tujuh kategori berbeza melibatkan agensi kerajaan, badan berkanun, swasta, institusi pengajian, serta badan bukan kerajaan (NGO), dengan kira-kira 5,000 peserta mengambil bahagian dalam perbarisan berkenaan.
Selain itu, sambutan perayaan hari lahir rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak berlangsung dari 8 Okt hingga esok, dengan pelbagai acara diadakan termasuk Majlis Kesyukuran dan Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak, Majlis Jamuan Negeri serta Majlis Jamuan Teh. — BERNAMA
































