Dr. Davina Markus
KOTA KINABALU: Tawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak di bawah Belanjawan 2027 akan memberi kelegaan kepada doktor muda, selain berpotensi memperkukuh tenaga kerja kesihatan awam dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Pengerusi Biro Kesihatan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Dr. Davina Markus berkata, lebih 4,000 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun ini, manakala lebih 9,000 lagi dijangka menerima tawaran pada tahun hadapan.
Beliau berkata, bermula tahun depan, doktor yang menamatkan latihan siswazah juga akan terus ditawarkan jawatan tetap sebagai Pegawai Perubatan.
“Saya tumpang gembira kerana pernah melalui pengajian perubatan dan memahami perjalanan panjang serta mencabar untuk bergelar doktor.
“Selepas bertahun-tahun belajar, menjalani latihan siswazah dan berkhidmat, mereka wajar mendapat kepastian kerjaya untuk merancang masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, usaha mengekalkan lebih ramai doktor dalam perkhidmatan awam bukan sahaja memberi kelegaan kepada petugas kesihatan, malah berpotensi mempercepatkan rawatan, mengurangkan kesesakan hospital dan menambah baik kemudahan wad.
Dr. Davina turut menyambut baik kenaikan insentif bagi petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100.
“Bagi Sabah, perkhidmatan kesihatan udara amat penting kerana masih ramai penduduk di kawasan pedalaman perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.
“Sebarang usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan luar bandar amat dialu-alukan,” katanya.
Beliau berkata, bantuan saringan kesihatan awal juga penting bagi membantu golongan yang layak mengesan penyakit seperti diabetes dan darah tinggi sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan orang ramai supaya tidak menunggu sehingga jatuh sakit untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Dalam pada itu, Dr. Davina berkata peluasan pelepasan cukai individu yang diumumkan turut memberi ruang kepada keluarga mengurus perbelanjaan mereka.
Ini termasuk pelepasan bagi penjagaan selepas bersalin, pusat jagaan ibu bapa dan datuk nenek, pembelian kasut sukan serta perbelanjaan tertentu berkaitan vaksinasi dan haiwan peliharaan.
“Secara keseluruhan, saya menyambut baik perhatian yang diberikan kepada sektor kesihatan dalam Belanjawan 2027.
“Harapan saya, semua inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat, termasuk mereka yang tinggal jauh di pedalaman Sabah.
“Kepada doktor muda, tahniah atas berita baik ini. Semoga ia menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Dalam kesibukan menjaga kesihatan orang lain, jangan lupa menjaga kesihatan diri sendiri,” katanya.


































