Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA)
KOTA KINABALU: Penutupan sementara landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menjejaskan 20 penerbangan hari ini selepas kerja-kerja pembaikan dilanjutkan berikutan hujan berterusan.
Landasan itu pada mulanya dijadualkan ditutup selama dua jam bermula 2.45 petang bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Bagaimanapun, Notis kepada Penerbang (NOTAM) berikutnya melanjutkan penutupan dari 5 petang hingga 8 malam, menurut sumber Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Sehingga kira-kira 5.40 petang, beberapa penerbangan tiba dari Tawau, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Guangzhou disenaraikan lewat, manakala sekurang-kurangnya dua penerbangan tiba dari Lahad Datu dan Labuan disenaraikan dibatalkan.
Beberapa penerbangan tiba turut dilencongkan ke Labuan dan Sandakan berikutan penutupan landasan itu.
Malaysia Airports dalam satu kenyataan berkata landasan berkenaan kekal ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja penting diselesaikan dengan selamat.
Katanya, hujan berterusan menjejaskan kemajuan kerja-kerja berkenaan.
“Penutupan sementara itu menjejaskan 20 penerbangan hari ini. Kami bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan bagi menguruskan kesan operasi dan membantu penumpang yang terjejas,” katanya.
Malaysia Airports menegaskan keselamatan kekal menjadi keutamaan, dengan operasi penerbangan hanya akan disambung semula selepas landasan disahkan selamat untuk digunakan.
Pengendali lapangan terbang itu berkata landasan akan dibuka semula selepas pemeriksaan keselamatan dan kerja-kerja pembersihan yang diperlukan selesai.
Penumpang dinasihatkan menyemak status penerbangan terkini secara terus dengan syarikat penerbangan masing-masing.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan menghargai kesabaran serta pemahaman anda,” kata Malaysia Airports.
































