KUCHING (Bernama): Kerajaan bersetuju untuk memperluas kemudahan pemindahan kelayakan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dengan pemilik berdaftar boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana pengguna sebenar kenderaan diesel persendirian yang layak, berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebelum ini pemindahan kelayakan hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat.
“Walaupun kita umumkan BUDI95 (BUDI MADANI RON95) 300 liter sebulan pada Ambang Kemerdekaan 31 Ogos tetapi pemilik pikap dan jip diesel, ini masalah banyak di Sabah dan Sarawak, masih mengeluh. Jadi kita naikkan diesel bersubsidi hingga 400 liter sebulan.
“… tetapi inilah ertinya demokrasi, kita dengar, masih mengeluh, menteri-menteri Sabah dan Sarawak keluarkan permasalahan ini, maka selain daripada pengumuman bulan lepas, kerajaan bersetuju untuk menambah baik BUDI Diesel,” kata beliau ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.
Selain itu, Anwar berkata pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian boleh memindahkan kelayakan bulanan BUDI Diesel kenderaan tersebut kepada maksimum tiga kenderaan lain.
Bagi situasi pemilik memindahkan ketiga-tiga kenderaan diesel yang dimiliki, MOF memaklumkan pemilik berdaftar hanya akan dapat menikmati subsidi BUDI95.
“Bagi setiap kenderaan yang layak, pemindahan hanya dibenarkan sekali. Setelah diluluskan, kelayakan tersebut tidak boleh dipindahkan semula kepada pemilik berdaftar atau kepada individu lain, kecuali dalam keadaan khusus yang ditetapkan.
“Seorang penerima hanya boleh menerima pemindahan kelayakan daripada seorang pemilik berdaftar,” menurut kenyataan itu.
Permohonan di bawah ketetapan baharu itu boleh dibuat mulai hari ini melalui portal BUDI MADANI www.budimadani.gov.my, secara fizikal di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau mendapatkan maklumat lanjut serta bantuan di stesen minyak berdekatan.
Bagi membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 hari bulan berikutnya, permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 hari bulan semasa.
“Sebagai contoh, permohonan yang dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 Sept akan diproses untuk membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 Okt, tertakluk pada semakan dan pengesahan data.
“Pemindahan kelayakan yang telah diluluskan sebelum 16 Sept kekal muktamad. Pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan masih boleh mengemukakan permohonan baharu, tertakluk pada had maksimum tiga penerima pemindahan dan jumlah kenderaan diesel berdaftar,” menurut MOF.
Semua permohonan pemindahan yang masih belum selesai diproses setakat 15 Sept akan dikembalikan kepada pemohon dan pemilik berdaftar yang masih ingin memindahkan kelayakan perlu mengemukakan permohonan baharu mulai 16 Sept berdasarkan ketetapan dasar baharu berkenaan.
Maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI melalui talian 1300-88-9595, WhatsApp 03-2631 4595 atau e-mel tanya@budimadani.gov.my. — BERNAMA






























