Jamawi (tujuh dari kanan) menyampaikan cendera mata kepada Sorawut selepas mesyuarat dua hala itu selesai.
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) dan Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand mengadakan mesyuarat dua hala pertama di Bangkok bagi memperkukuh jalinan kerjasama dalam bidang ternakan, veterinar dan unggas.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, mesyuarat itu memberi tumpuan khusus kepada urusan import ayam keratan dari Thailand yang bernilai lebih RM500 juta setahun.
Katanya, perbincangan turut menjurus kepada pensijilan halal produk ayam, keperluan pusat penyembelihan yang teratur serta pengawalan penyakit bawaan unggas atau selesema burung bagi memastikan keselamatan makanan lebih terjamin untuk rakyat Sabah.
Delegasi Thailand diketuai Setiausaha Kementerian Pertanian dan Koperasi, Sorawut Nueangjamnong, dan turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Ternakan, Somchuan Ratanamangkhalanon; Pengarah Biro Piawaian dan Pensijilan Produk Ternakan, Yutthana Sophi; Pengarah Bahagian Kerjasama Ternakan Antarabangsa, Wanida Chaengprachak; serta Pegawai Veterinar, Peringkat Profesional Kanan, Bahagian Kerjasama Ternakan Antarabangsa, Photchana Sakrasae.
Delegasi MAFFI pula disertai Timbalan Setiausaha Tetap III MAFFI, Shariffah Aznoor Jap; Pengarah DVS, Dr. Zul Bahar Hj Abdul Rashid bersama pegawai serta Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Dato Shawn Davey.
Selain bidang ternakan, Sabah turut mempelawa Thailand memperluaskan kerjasama ke bidang pertanian lain, termasuk industri tanaman padi, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kerjasama itu khususnya membabitkan pemindahan teknologi antara pengusaha pertanian Thailand dan pengusaha pertanian Sabah pada masa akan datang.
































