Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU (Bernama): Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus diangkat sebagai naratif nasional bagi memastikan semangat pembentukan Malaysia diterjemahkan dalam kehidupan setiap rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata pelaksanaan MA63 adalah antara komitmen Kerajaan MADANI bagi memastikan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak terus diberi perhatian berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“MA63 tidak seharusnya menjadi naratif Sabah dan Sarawak semata-mata. MA63 adalah naratif nasional. Itulah makna sebenar sebuah Persekutuan,” katanya dalam perutusan bersempena dengan Hari Malaysia 2026 hari ini.
Mustapha berkata antara perkembangan penting dalam pelaksanaan MA63 ialah persetujuan secara prinsip berhubung penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, dengan mengambil kira keperluan nisbah dan representasi kedua-dua wilayah dalam komposisi Dewan Rakyat.
“Penambahan ini bukan sekadar angka tetapi memastikan suara rakyat Borneo diambil kira dalam keputusan dasar penting negara,” katanya.
Beliau berkata perkembangan positif turut dicapai dalam usaha borneonisasi perjawatan Persekutuan di Sabah dan Sarawak, selain perhatian serius Kerajaan Persekutuan terhadap hak Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Mustapha berkata Pemberian Khas Interim Sabah bagi 2026 ditingkatkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sebelum ini, dengan baki RM900 juta dilaksanakan tahun ini.
“Namun, harus diketahui bahawa pelaksanaan mengenai hak 40 peratus Sabah tidak terhenti dengan pembayaran interim tersebut. Malah, diteruskan selaras peruntukan perlembagaan,” katanya.
“Inilah pendekatan Malaysia MADANI. Kita memilih rundingan daripada konfrontasi. Kita memilih penyelesaian daripada slogan,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak (BHESS) bakal bekerjasama dengan Backbenchers’ Club (BBC) Parlimen Malaysia untuk menggerakkan Friends of BHESS bagi memperluas kefahaman mengenai MA63 dalam kalangan ahli Parlimen dan senator.
Menyentuh semangat Hari Malaysia, beliau berkata sambutan itu seharusnya menjadi ruang mengukuhkan perpaduan, dengan perbezaan parti dan pendapat diraikan dalam kerangka demokrasi yang matang.
“Politik Malaysia mesti bergerak ke hadapan dengan merangkul semua warga negara berdaulat ini. Marilah berpegang dengan prinsip mencari titik-titik persamaan dan menghormati perbezaan antara kita,” katanya.
Mustapha berkata Hari Malaysia mengingatkan rakyat bahawa negara ini dibina secara bersama oleh pelbagai wilayah dan masyarakat.
“Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa negara ini tidak dibina oleh satu wilayah atau satu kaum sahaja. Malaysia dibina bersama. Maka Malaysia juga mesti kita pertahankan bersama,” katanya. – BERNAMA
































