KUALA LUMPUR (Bernama): Keupayaan memacu pembaharuan dan memperkemas tadbir urus menjadi taruhan Datuk Ab Ghani Hassan serta Datuk Seri Shahril Mokhtar dalam perebutan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 esok.
Pemerhati bola sepak negara Ahmad Muzakkir Hamid berkata kedua-dua calon memiliki ketokohan dan latar belakang tersendiri, namun membawa pengalaman berbeza yang boleh mempengaruhi pendekatan masing-masing sekiranya diberi mandat menerajui badan induk bola sepak negara itu.
Beliau berkata Ab Ghani mempunyai pengalaman panjang dalam pentadbiran bola sepak, termasuk pernah berada dalam kepimpinan FAM dan menerajui Liga Bolasepak Malaysia (MFL) manakala Shahril pula membawa pengalaman korporat selain pernah berada dalam struktur pentadbiran bola sepak.
“Ab Ghani ini sudah lama berkecimpung dalam bola sepak. Beliau kemudian menerajui MFL. Sebelum ke MFL pun, beliau sudah berada di FAM. Jadi, dari segi pengalaman bola sepak, beliau mempunyai kelebihan kerana sudah lama dalam bidang ini.
“Shahril pula terkenal dalam bidang korporat dan mempunyai pengalaman pengurusan daripada sektor berkenaan.
Beliau pernah mencapai kejayaan dalam bidang korporat dan pernah berada dalam kepimpinan bola sepak. Jadi, sejauh mana pengalaman itu boleh diterapkan kepada FAM?” katanya kepada Bernama hari ini.
Ahmad Muzakkir berkata pengalaman luas Ab Ghani dalam ekosistem bola sepak boleh menjadi aset untuk memahami selok-belok pentadbiran badan induk berkenaan, termasuk hubungan dengan badan gabungan dan pihak berkepentingan dalam bola sepak tempatan.
Beliau bagaimanapun berkata cabaran besar menanti mana-mana calon yang dipilih, khususnya dalam usaha memulihkan keyakinan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan isu membabitkan tujuh pemain warisan serta memastikan kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti sebelum ini ditangani secara menyeluruh.
Menurut Ahmad Muzakkir, tiga perkara yang wajar diberikan perhatian dalam tempoh enam bulan pertama pentadbiran baharu ialah menutup ruang kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti, memperkasakan pembangunan akar umbi serta meningkatkan kedudukan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Perubahan tidak seharusnya terhenti di kerusi presiden semata-mata, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) dan keseluruhan struktur pentadbiran FAM bagi memastikan agenda pembaharuan dapat diterjemahkan kepada tindakan.
“Presiden perlu bergerak bersama satu pasukan, daripada presiden sehingga barisan Exco, supaya semuanya memberi impak positif untuk melonjakkan bola sepak kita,” katanya.
Sementara itu, legenda bola sepak negara Shahril Arshat berpandangan sesiapa sahaja yang diberi mandat menerajui FAM perlu memastikan perancangan pembangunan bola sepak negara diteruskan secara konsisten dan tidak berubah setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan.
“Bagi saya, apa-apa pun perancangan jangka masa panjang, siapa pun yang akan memegang tampuk kepimpinan pada masa akan datang, ia mesti diteruskan dan ditambah baik. Jangan kita ubah-ubah. Benda ini tidak perlu diubah keseluruhannya tetapi penambahbaikan perlu dibuat supaya momentum pembangunan kekal.
“FAM juga perlu memberi perhatian kepada usaha meningkatkan nilai Liga Malaysia, mengatasi isu kewangan, meningkatkan tahap kompetitif liga serta memastikan liga pembangunan bergerak seiring dengan keperluan melahirkan pemain berkualiti,” katanya.
Shahril berkata keberkesanan pentadbiran baharu tidak boleh bergantung kepada presiden semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua ahli kongres, Exco dan pengurusan FAM.
Beliau berkata kesepaduan dalam struktur kepimpinan penting bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan tanpa dibelenggu perbezaan hala tuju dalaman.
Pada 3 Sept lepas, FAM mengumumkan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Ab Ghani akan berhadapan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Shahril bagi perebutan kerusi presiden badan induk bola sepak negara itu.
Selain jawatan presiden, tumpuan turut terarah kepada persaingan bagi jawatan naib presiden 1 dan 3 serta Exco bagi kategori persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab (FC). — BERNAMA
































