CANBERRA (Bernama-Xinhua): Jualan kenderaan elektrik (EV) di Australia mencatat rekod baharu pada Ogos, ketika populariti kereta buatan China terus meningkat, menurut data industri, lapor Xinhua.
Dewan Persekutuan Industri Automotif (FCAI) pada Khamis memaklumkan kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) menyumbang 24.9 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan baharu di seluruh negara pada Ogos, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 23.3 peratus yang dicatatkan pada Jun.
Ia merupakan bulan keempat berturut-turut BEV menyumbang sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jualan kenderaan baharu selepas paras itu pertama kali dicatatkan pada Mei, ketika kos bahan api meningkat.
FCAI memaklumkan jualan BEV pada Ogos meningkat 171 peratus berbanding Ogos 2025.
Menurut data itu, pengeluar China BYD, GWM, MG, Geely dan Chery kesemuanya berada dalam senarai 10 jenama paling popular di Australia pada Ogos.
BYD menyerahkan 8,231 kenderaan baharu kepada pelanggan di Australia pada Ogos, menduduki tempat kedua dalam kalangan semua pengeluar selepas Toyota, berbanding 4,877 unit pada Ogos 2025.
Geely menjual 4,504 kenderaan baharu di Australia pada bulan berkenaan, meningkat lebih 1,000 peratus berbanding 401 unit pada Ogos 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif FCAI Tony Weber berkata pasaran automotif Australia sedang mengalami perubahan struktur yang ketara.
Beliau berkata jualan BEV yang kekal tinggi, bersama-sama perubahan dalam pilihan jenama, menunjukkan betapa pantas pilihan pengguna dan persaingan mengubah landskap pasaran kenderaan baharu di Australia.
Sehingga akhir Ogos, BYD menjual 68,423 kenderaan baharu di Australia pada 2026, meningkat 108 peratus berbanding 32,839 unit dalam tempoh sama pada 2025. –BERNAMA-XINHUA
































