Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Kualiti udara di Sabah menunjukkan sedikit peningkatan apabila dua stesen pengawasan kembali mencatatkan bacaan pada tahap sederhana setakat jam 5 petang, hari ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, bagaimanapun lima stesen masih merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
“Pada jam 5 petang, empat stesen mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Kota Kinabalu (156), Politeknik (156), Kimanis (155) dan Keningau (154), manakala Stesen Tawau turut mencatatkan bacaan 151,” katanya dalam kenyataan media mengenai status kualiti udara dan jerebu di Sabah, hari ini.
Beliau berkata, dua stesen kembali mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana iaitu Stesen Sandakan dengan bacaan 93 dan Stesen Tawau dengan bacaan 98.
Nor Rashidah berkata, kualiti udara di Sabah terjejas akibat jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan, sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia.
“Asap tebal daripada kebakaran tersebut dipercayai telah dibawa oleh tiupan angin merentasi wilayah Borneo, termasuk ke Sabah,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah serta hasil rondaan pencegahan pembakaran terbuka yang dilaksanakan pegawai JAS pada 3 September, tiada kejadian kebakaran besar lain dikesan atau dilaporkan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau.
Selain itu, katanya, laporan ASMC yang berpusat di Singapura pada 2 September menerusi imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 menunjukkan tiada titik panas (hotspot) dikesan di Sabah.
Bagaimanapun, laporan sama menunjukkan sebanyak 780 titik panas masih aktif dikesan di Kalimantan dan 142 di Sumatera berdasarkan cerapan pada 2 September.
Nor Rashidah berkata, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, bacaan IPU 101 hingga 200 menunjukkan tahap tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, 301 hingga 400 bahaya, manakala bacaan melebihi 400 hingga 500 dikategorikan sebagai sangat bahaya.
Beliau berkata JAS terus bersiap siaga mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian berikutan keadaan cuaca panas dan kering, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“Pada 3 September 2026, rondaan harian dilaksanakan di kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau dengan tumpuan kepada kawasan sensitif serta lokasi berhampiran stesen pengawasan kualiti udara sedia ada,” katanya.
Setakat ini, sebanyak 502 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan.
JAS turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS di Play Store, selain merujuk laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah pencegahan ketika jerebu.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis mereka dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.
Menurut JAS, di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Kompaun maksimum RM2,000 atau tidak melebihi RM500,000 juga boleh dikenakan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.
Orang ramai turut diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil serta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada JBPM di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.
































