Hajiji menyaksikan penyerahan bayaran dividen daripada Ghulamhaidar (kanan) kepada Zainudin (kiri).
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyerahan tiga bayaran dividen sebelum mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Bayaran dividen pertama berjumlah RM4.08 juta adalah daripada Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB) kepada Kerajaan Negeri.
Replika cek disampaikan oleh Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.
Bayaran dividen kedua adalah daripada ICSB kepada syarikat induknya, Yayasan Sabah, berjumlah RM168,299,994.90.
Ia disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya kepada Ghulamhaidar.
Bayaran dividen ketiga adalah daripada Innoprise Plantations Berhad kepada syarikat induknya, ICSB, berjumlah RM45,689,187.33.
































