Mohammad bergambar bersama warga kerja SAFMA ketika mengadakan lawatan ke gerai pameran SAFMA pada MAHA 2026 di MAEPS, Serdang.
SERDANG: Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) mahu memperkukuh industri perikanan menerusi penerapan teknologi, pendigitalan, rantaian sejuk dan pembangunan produk bernilai tambah bagi menyokong keterjaminan makanan negara.
Pengerusinya, Datuk Mohammad Mohamarin berkata, penyertaan SAFMA pada MAHA 2026 bukan sekadar ruang pameran, sebaliknya menjadi platform untuk memperkenalkan potensi hasil laut Sabah kepada masyarakat, pemain industri dan pelabur.
Katanya, selaras dengan tema MAHA 2026, “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, SAFMA mengetengahkan Ikan Rakyat Sabah sebagai produk hasil laut sejuk beku yang berpotensi dikembangkan ke pasaran lebih luas, termasuk Semenanjung Malaysia.
“Bagi SAFMA, ikan bukan sekadar sumber protein tetapi sebahagian daripada rantaian ekonomi yang melibatkan nelayan, pengangkutan, pemprosesan, pemasaran dan pengguna.
“Kita perlu memperkukuh keseluruhan rantaian bermula daripada pendaratan, pengendalian, rantaian sejuk, pemprosesan hingga pemasaran,” katanya ketika mengadakan lawatan ke gerai SAFMA di Pavilion Sabah sempena MAHA 2026 di MAEPS, di sini.
Turut hadir Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar; Timbalan Pengurus Besar, Aziz Ali Amat serta ahli Lembaga Pengarah SAFMA.
Mohammad berkata, peningkatan kos operasi, tenaga kerja dan perubahan iklim antara cabaran utama industri yang memerlukan pendekatan lebih moden melalui teknologi, penggunaan data dan pengurangan pembaziran selepas pendaratan.
Beliau turut melihat ekonomi biru sebagai peluang besar untuk meningkatkan nilai sumber marin secara mampan menerusi pemprosesan, produk nilai tambah, teknologi perikanan, rantaian sejuk beku dan bioteknologi marin.
“Kita mahu laut terus menghasilkan nilai ekonomi, tetapi pada masa sama memastikan sumber marin terus terpelihara.
“SAFMA juga mahu mewujudkan ekosistem lebih mesra pelaburan serta membuka peluang kepada generasi muda dalam teknologi marin, pemprosesan, logistik, pemasaran digital dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, matlamat SAFMA adalah memperkukuh rantaian nilai supaya lebih banyak manfaat ekonomi dapat dinikmati nelayan dan pengusaha tempatan, sekali gus membina industri perikanan yang moden, berdaya saing dan mampan.

































