KOTA KINABALU: Sabah terus memperkukuh hubungan dan kerjasama antarabangsa apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia, Osamah Dakhei R Al Ahmadi di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Kunjungan itu merupakan pertemuan pertama Osamah dengan Hajiji selepas beliau dilantik sebagai Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia dan memulakan tugasnya pada awal tahun ini.
Pertemuan berkenaan memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kepentingan memperkukuh hubungan sedia ada, selain meneroka bidang kerjasama baharu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Sabah.

Usaha Sabah memperkukuh hubungan dan kerjasama antarabangsa turut diteruskan menerusi kunjungan hormat Duta Besar Finland ke Malaysia, Anne Vasara kepada Hajiji di Menara Kinabalu, semalam.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi memperkukuh hubungan dan kerjasama Malaysia-Finland, khususnya dalam bidang yang boleh memberi manfaat kepada Sabah.
Antara bidang yang diberi perhatian ialah pembangunan mampan, teknologi, inovasi dan ekonomi hijau, selaras dengan usaha Sabah memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta menarik pelaburan berkualiti.
Sabah turut mempunyai pengalaman meneroka pendekatan Finland dalam bidang inovasi, kelestarian dan ekonomi kitaran, termasuk menerusi lawatan pembelajaran pegawai kanan Kerajaan Negeri ke Helsinki sebelum ini.
Kedua-dua kunjungan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperluas hubungan dengan rakan antarabangsa serta mengenal pasti peluang kerjasama strategik yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan dan kemajuan Sabah.
































