Suasana ceria penduduk Kg. Tanaki yang hadir.
PAPAR: Pembangunan bukan hanya tertumpu kepada pembinaan jalan raya, jambatan dan kemudahan awam, sebaliknya turut merangkumi aspek kesejahteraan serta kualiti hidup masyarakat.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Juil Nuatim berkata, pembangunan sebenar perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan masyarakat.
“Pembangunan sebenarnya ialah pembinaan masyarakat kita, masyarakat hidup dalam keadaan aman, saling membantu, mempunyai akses pendidikan, penjagaan kesihatan, peluang ekonomi dan menikmati kehidupan yang baik.
“Pembangunan yang berkesan bermula dengan komunikasi yang terbuka, saling menghormati dan saling memahami,” katanya ketika merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Kampung Tanaki, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, program turun padang seperti KMJG turut menjadi platform mendekatkan kerajaan dengan rakyat menerusi penyampaian maklumat tepat mengenai dasar kerajaan serta memberi ruang kepada masyarakat menyuarakan pandangan.
“Kerjasama antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan agensi pelaksana penting bagi memastikan setiap usaha pembangunan memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya.
Juil turut menyeru penduduk Kg Tanaki supaya terus mengamalkan budaya gotong-royong bagi mengeratkan hubungan dan memperkukuh perpaduan dalam komuniti.
“Perpaduan perlu bermula daripada keluarga, jiran dan komuniti setempat bagi membentuk masyarakat yang kukuh, aman dan stabil.
“Gotong-royong bukan sekadar aktiviti, tetapi menjadi ruang untuk menyatukan penduduk kampung dan mengelakkan perpecahan serta perselisihan faham,” ujarnya.
Dalam pada itu, masyarakat juga dinasihatkan supaya menjadi pengguna maklumat yang bijak dengan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih serta mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, Penolong Pegawai Daerah Kanan, Audery Isabella Noikin serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat Limbahau, Ana Maria Bernadus.


































