Suasana sekitar majlis KMJG Daerah Papar.
PAPAR: Penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab mencerminkan sikap rakyat merdeka dalam memanfaatkan ruang digital dengan sebaiknya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkembangan teknologi dan internet ketika ini turut memerlukan perhatian terhadap aspek keselamatan dalam talian.
“Dalam banyaknya ruang dan peluang kebaikan internet itu, kita melihat ada pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang, contohnya aktiviti scam, penipuan dan sebagainya.
“Peningkatan kes penipuan dari semasa ke semasa menunjukkan keperluan masyarakat meningkatkan kewaspadaan serta menggunakan internet secara bijak dan bertanggungjawab.
“Kempen Internet Selamat (KIS) penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan platform digital, selain tidak mudah terpedaya dengan pelbagai bentuk penipuan dalam talian,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Kempen Internet Selamat Daerah Papar 2026, di sini, pada Sabtu.
Armizan berkata, semangat kemerdekaan juga perlu diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab dalam penggunaan ruang digital, termasuk menjaga keharmonian dan perpaduan masyarakat.
Beliau berharap, semangat kemerdekaan terus diperkukuh dalam kalangan rakyat dengan membudayakan penggunaan internet yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada pembinaan negara yang aman, bersatu dan sejahtera.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, ADUN Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.
Terdahulu, Armizan turut merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Daerah Papar di Dewan Terbuka, Kampung Sekayan.


































