Joniston (tengah) bersama para hadirin bersama-sama menyanyikan lagu patriotik.
KOTA KINABALU : Kepelbagaian kaum di Sabah merupakan tunjang kekuatan yang perlu dipelihara demi membina sebuah masyarakat yang bersatu padu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kepelbagaian kaum di negeri ini bukan sesuatu yang harus memisahkan, sebaliknya merupakan kekuatan yang perlu dipelihara dan dimanfaatkan dalam membina sebuah masyarakat yang bersatu padu.
“Inilah keistimewaan Malaysia, khususnya Sabah, sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian agama, etnik, budaya dan bahasa. Masyarakatnya telah hidup berdampingan sejak sekian lama dengan mengamalkan sikap saling menghormati, memahami dan bertolak ansur.
“Kita harus menyemai nilai kasih sayang, hormat-menghormati, toleransi dan keprihatinan dalam hidup bermasyarakat kerana kemajuan sebuah negara bukan sahaja bergantung kepada pembangunan ekonomi semata-mata, namun ia juga bergantung kepada kekuatan hubungan antara rakyatnya.
“Jika masyarakat hidup dalam keadaan saling menghormati dan memahami, kita akan mempunyai asas yang kukuh untuk menghadapi apa juga cabaran pada masa hadapan.
“Saya berharap program ini akan terus menjadi wadah yang menyatukan masyarakat serta memperkukuhkan persefahaman dan keharmonian antara agama”, katanya semasa berucap merasmikan Program Doa Sayangi Malaysia Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026, di Sri Pasupathinath Alayam Temple, di sini pada Ahad.
Menurutnya, program tersebut memperlihatkan semangat patriotisme tidak hanya diterjemahkan melalui sambutan pengibaran Jalur Gemilang, malah ianya dapat dizahirkan melalui doa, rasa syukur, sikap saling menghormati serta kesediaan semua pihak untuk bersama-sama menjaga keamanan dan keharmonian negara.
Jelasnya, program tersebut merupakan satu wadah yang memberikan ruang dan peluang kepada penganut agama bukan Islam untuk menzahirkan rasa syukur atas keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang dinikmati sebagai rakyat Malaysia.
“Rasa syukur tersebut dizahirkan melalui upacara sembahyang atau doa mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.
“Walaupun kita berbeza dari segi cara beribadat dan pegangan agama, kita berkongsi harapan yang sama terhadap tanah air yang menjadi tempat kita hidup, membina keluarga dan mencorakkan masa depan yang lebih baik buat generasi akan datang”, ujarnya.
Beliau berharap, program tersebut diteruskan pada masa akan datang dan mendapat penyertaan yang luas daripada masyarakat, khususnya generasi muda, agar nilai toleransi, perpaduan dan saling menghormati dapat terus diwariskan.
Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Mackey Apison Lo, Pengerusi Persatuan Agama Hindu Malaysia Cawangan Majlis Sabah, Datuk Dr. G. Mohan A/L Gopal Naidoo dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr.) T.C Goh.


































