Suasana ketika peserta konvoi berjalan kaki sempena aktiviti Langkah Jiwa Merdeka.
PAPAR: Mural bertajuk “Papar Sejahtera” yang mengetengahkan elemen tempatan serta identiti sosiobudaya masyarakat setempat kini menghiasi pintu masuk Pejabat Daerah Papar.
Penghasilan mural berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka (BKVS), Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah bersama Nippon Paint bersempena dengan program konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di sini, pada Sabtu.
Pegawai Pereka, Adleen Haikal Abd Aziz berkata, mural berukuran 165 meter persegi itu mengetengahkan citra sosiobudaya masyarakat Papar menerusi pelbagai elemen yang mencerminkan kepelbagaian, warisan dan identiti daerah berkenaan.
Mural tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai karya seni, malah menjadi medium untuk memperkenalkan identiti dan nilai sosiobudaya Papar kepada masyarakat serta pengunjung.
Selain perasmian mural, program berkenaan turut diisi dengan aktiviti Langkah Jiwa Merdeka menerusi konvoi berjalan kaki di sekitar kawasan Papar sambil mengagihkan bendera kepada penduduk setempat.
Aktiviti berkenaan menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme serta menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah Tahun 2026.
Turut hadir, Pegawai Daerah, Muhammad Mohd Ali, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor serta Ketua Polis Daerah, Superintenden Heryan Tahir.


































