Suasana ketika Langkah Jiwa Merdeka
KUDAT: Seramai 1,500 peserta daripada pelbagai peringkat usia menyertai Langkah Jiwa Merdeka bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan menggalakkan gaya hidup sihat.
Program itu dimulakan dengan Senamrobik sebagai aktiviti pemanasan badan sebelum para peserta meneruskan langkah sejauh tiga kilometer yang bermula dari Perkarangan Dewan Terbuka Tomborungus, di sini, pada Ahad.
Pelepasan peserta Langkah Jiwa Merdeka disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Peter Tong Ah Pin yang juga ketua konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026.
Sepanjang perjalanan, peserta membawa Jalur Gemilang dan bendera Sabah sambil diiringi lagu-lagu patriotik yang diperdengarkan oleh unit Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, menjadikan suasana program lebih meriah.
Dalam program berkenaan, beberapa agensi kerajaan turut membuka reruai bagi menyediakan perkhidmatan dan maklumat kepada masyarakat antaranya Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat, Jabatan Pertanian Sabah Daerah Kudat dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kudat.
Penyertaan agensi berkenaan memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta maklumat berkaitan penjagaan kesihatan, pertanian dan pencegahan penyalahgunaan dadah.
Pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang program, antaranya flying fox anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kudat, kempen derma darah oleh Hospital Kudat serta cabutan bertuah khas untuk para peserta.


































