Matbali (lima dari kanan) semasa berkunjung ke reruai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
SIPITANG: Pengorbanan pejuang terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan perlu terus dihargai dan dihayati oleh generasi muda.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, kemerdekaan yang dinikmati rakyat hari ini dicapai melalui pengorbanan besar pejuang terdahulu demi memerdekakan negara.
“Bukan mudah untuk kita mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan ini dicapai melalui pengorbanan darah, air mata dan keringat para pejuang yang berusaha memerdekakan negara Malaysia.
“Terdapat pejuang yang mengalami kecederaan termasuk ketika era komunis, selain pengorbanan anggota polis serta pejuang lain dalam mempertahankan negara.
“Sabah turut mempunyai pejuang hebat seperti Paduka Mat Salleh dan Antanom yang berusaha memperjuangkan kemerdekaan.
“Kemerdekaan yang dinikmati hari ini perlu dilihat sebagai hasil perjuangan pemimpin dan pejuang terdahulu yang perlu diteruskan oleh generasi masa kini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 Peringkat Daerah Sipitang, di Kampung Mendulong di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Matbali menegaskan kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) bukan sekadar memasang bendera di rumah, premis atau kenderaan, tetapi merupakan manifestasi rasa syukur terhadap nikmat kemerdekaan yang diwariskan oleh pejuang terdahulu.
“Sempena Hari Kebangsaan tahun ini, marilah kita menyemarakkan semangat patriotisme dalam jiwa generasi muda kita, agar memahami bahawa kemerdekaan bukan sekadar sejarah, tetapi amanah yang perlu dipelihara dan juga diwariskan.
“Semoga Jalur Gemilang terus berkibar megah di bumi bertuah ini dan menjadi lambang perpaduan mengikat hati seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga dan hormat serta menjadikannya simbol penyatuan tanpa mengira kaum, agama dan perbezaan politik.
Dalam pada itu, Matbali juga menekankan kepentingan pendidikan dalam membentuk generasi muda yang berjaya dan cemerlang serta mampu menjadi pemimpin pelapis dan modal insan terbaik.
“Pendidikan bukan sekadar tanggungjawab ibu bapa dan warga pendidik, tetapi turut menjadi tanggungjawab masyarakat dalam memastikan anak-anak terus berjaya.
“Pendidikan akademik juga perlu disertai pendidikan agama serta penerapan nilai murni dan akhlak bagi menangani gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, kes buli dan sebagainya,” tambahnya.
Jelasnya, kerjasama komuniti, pemimpin kampung dan agensi berkaitan penting dalam memupuk semangat muhibah, perpaduan dan kebersamaan bagi memastikan generasi muda terus cemerlang.
Turut hadir, Pegawai Daerah, Abd. Karim A.M Zahari, wakil Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Dr. Diana Dominic, Ketua Polis Daerah, Superintendent Awang Anak Suanda, Pegawai Pendidikan Daerah, Zulkifle Kassim, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sindumin, Mohd Rafie Isa, Ketua Daerah, OKK Daut Kassim, Ketua Kg Mendulong, Arow @ Joseph Sinau dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Mendulong, Samsun Wilson.


































