Jamawi ditemui media ketika sesi rakaman program Influencer@JAPEN Sabah di Kepayan. Gambar: Bahagian Media Siber (BMS)/ Celestina Ubing (MAFFI)
KOTA KINABALU: Petani di Sabah dinasihatkan tidak membuka kawasan pertanian baharu sepanjang tempoh fenomena ‘Super’ El Nino yang dijangka berlaku dari September ini sehingga Januari tahun depan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata kementeriannya sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menghadapi fenomena itu susulan jangkaan cuaca panas dan kemarau berpanjangan.
“Kementerian juga menerima taklimat daripada Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) Negeri Sabah minggu lalu berhubung keadaan cuaca yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian.
“Untuk tempoh empat hingga lima bulan ini kita nasihatkan para petani supaya tidak membuka kawasan pertanian baharu.
“Mereka disaran menumpukan usaha menambah sumber air di kebun masing-masing selain mengelakkan pembakaran terbuka,” katanya ketika ditemui ketika rakaman program Influencer@JAPEN Sabah, pada Rabu.
Jamawi berkata sektor pertanian, perikanan dan penternakan dijangka mengalami sedikit gangguan sekiranya cuaca panas berpanjangan.
Sehubungan itu beliau meminta pengusaha sektor berkenaan mendapatkan nasihat daripada pegawai kementerian di peringkat daerah.
“Berhubunglah dengan pegawai kementerian untuk mendapatkan panduan mengenai langkah mengurangkan kesan El Nino terhadap perusahaan, perniagaan atau tanaman yang diusahakan,” ujarnya.
Masyarakat juga dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat rasmi MET Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini.
































