KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengalu-alukan pelaburan berkualiti yang bukan sahaja memasarkan produk, malah membangunkan kemudahan, melatih bakat tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan syarikat yang melabur di Sabah supaya turut membangunkan kepakaran tempatan, melatih juruteknik anak Sabah, melibatkan pembekal tempatan serta menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti.
Katanya, industri automotif global kini sedang mengalami transformasi besar berikutan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang semakin mendapat tempat dalam pasaran hasil kemajuan teknologi bateri serta kesedaran terhadap pengangkutan yang lebih bersih.
“Peralihan kepada mobiliti elektrik di Sabah perlu dilaksanakan secara praktikal dan realistik memandangkan faktor geografi negeri yang luas serta keperluan pengguna terhadap jarak pemanduan, kemudahan pengecasan, ketahanan bateri dan sokongan selepas jualan,” katanya ketika merasmikan pembukaan rasmi bilik pameran pertama iCAUR di Sabah di Universal iCAR Showroom, di sini, kelmarin.
Masidi berkata, pembangunan ekosistem EV yang mampan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, penyedia tenaga, pemaju hartanah, pusat beli-belah, hotel, pengedar kenderaan, pengendali stesen pengecasan dan institusi kewangan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan Universal iCAR dan iCAUR menjalin kerjasama strategik bagi memperluaskan rangkaian kemudahan pengecasan serta meningkatkan pengalaman pemilikan EV di Sabah.
“Pembukaan bilik pameran pertama iCAUR di Sabah mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri serta prospek masa depan pasaran pengguna di Sabah.
“Bagi Sabah, EV bukan sekadar bermaksud electric vehicle, tetapi juga melambangkan economic value melalui pelaburan baharu, pembangunan kemahiran, pertumbuhan perniagaan dan peluang ekonomi untuk rakyat,” katanya.


































