Dr. Mohd. Ariffin (duduk, tengah) bersama para peserta Wacana Pemikir di Dewan Sa’adah, Wisma Muis, semalam.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyeru rakyat Sabah agar terus memperkukuh perpaduan, menyemarakkan semangat saling menghormati serta menyokong setiap usaha yang menyumbang kepada kemajuan negara.
Beliau berkata, perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi merupakan asas kepada kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Apabila rakyat bersatu, negara menjadi kuat. Apabila ekonomi berkembang, rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Dan apabila keamanan terus dipelihara, Malaysia akan terus menjadi sebuah negara yang dihormati dan dipandang tinggi,” katanya ketika merasmikan Program Wacana Pemikir Peringkat Negeri Sabah di Dewan Sa’adah, Wisma Muis, di sini, semalam. Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif.
Ketua Menteri berkata, hari ini, dunia sedang menyaksikan gelombang pergolakan geopolitik yang semakin menggugat kestabilan global.
“Di banyak negara, peperangan, krisis ekonomi, inflasi, konflik politik dan bencana kemanusiaan telah merampas keamanan yang dinikmati oleh rakyat.
“Ada yang kehilangan pekerjaan, ada yang kehilangan tempat tinggal, malah ada yang kehilangan harapan. Apabila keamanan runtuh, ekonomi turut terjejas. Dan apabila ekonomi lumpuh, masa depan rakyat menjadi tidak menentu.
“Namun di sebalik badai yang melanda dunia, kita perlu bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah kepada Malaysia, khususnya Sabah. Kita terus menikmati keamanan, perpaduan dan kehidupan yang harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
“Anak-anak kita masih dapat meneruskan pendidikan, rumah-rumah ibadat terus berkembang, masyarakat terus hidup dalam suasana saling menghormati, dan ekonomi terus bergerak maju, membawa harapan,” katanya.
Hajiji berkata, keamanan dan kestabilan yang dinikmati hari ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memelihara kestabilan, memperkukuh ekonomi, menjaga kebajikan rakyat dan mengekalkan keharmonian sosial.
“Apa yang berlaku di peringkat global mungkin memberi kesan kepada kita, namun yang lebih penting ialah bagaimana kita mengekalkan keharmonian, perpaduan dan kestabilan dalam negara kita sendiri.
“Rakyat perlu bersikap terbuka dalam menilai isu-isu global, di samping mengekalkan pertimbangan yang bebas dan tidak mudah dipengaruhi oleh naratif yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Oleh itu, kita mesti terus bersatu, saling menghormati, bekerjasama dan menyokong agenda pembangunan di bawah kerangka Malaysia MADANI serta menerusi agenda Sabah Maju Jaya,” katanya.
Ketua Menteri turut berharap semangat saling menghormati akan terus menjadi asas kepada perpaduan negara.
Mengenai program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), beliau berkata ia merupakan platform penting untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu antarabangsa semasa.
Beliau turut menyifatkan barisan penceramah daripada pelbagai latar belakang sebagai antara kekuatan utama program itu kerana ia membolehkan peserta memperoleh perspektif yang lebih luas mengenai perkembangan geopolitik dan cabaran semasa.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong program seperti ini dan berharap ia dapat dianjurkan secara berkala pada masa hadapan,” katanya.


































