Johari mewakili Masidi bersama para jemputan dan peserta.
RANAU: Industri Esports (e-sukan) kini bukan lagi sekadar hiburan, sebaliknya muncul sebagai sektor ekonomi digital yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya kepada golongan muda.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkembangan pesat industri Esports membuka ruang kerjaya bukan sahaja sebagai pemain profesional, malah dalam bidang seperti jurulatih, penganalisis permainan, pencipta kandungan, penstrim, pengulas pertandingan, pengurus pasukan, pemasaran digital dan teknologi.
Beliau berkata, Kerajaan mahu melihat lebih ramai anak muda Sabah menjadi pencipta peluang serta peneraju dalam ekonomi digital dengan membangunkan bakat melalui ilmu, disiplin dan pengalaman.
“Kerjasama erat antara kerajaan, komuniti Esports, sektor swasta dan penganjur kejohanan perlu terus diperkukuh bagi memperkasakan pembangunan industri ini serta menyediakan lebih banyak platform kepada bakat tempatan untuk berkembang,” katanya ketika merasmikan Borneo Esport Tournament 2026 (BEST26) di Dewan Masyarakat Ranau, kelmarin. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin.
Masidi berkata, Kerajaan akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menyokong pembangunan bakat serta mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi memastikan industri e-sukan terus berkembang sebagai pemangkin ekonomi digital negeri.
“Anak muda Sabah, khususnya dari Ranau, mampu melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi sekiranya diberi peluang untuk mengembangkan bakat melalui penyertaan dalam pertandingan serta akses kepada jaringan industri Esports yang lebih luas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap BEST26 menjadi platform untuk mencungkil bakat, membina pengalaman dan memperkukuh komuniti e-sukan di Ranau serta Sabah sebelum merasmikan kejohanan itu secara rasmi.
Sementara itu, kejohanan berkenaan mempertandingkan tiga kategori permainan Esports iaitu Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile dan eFootball.
Seramai 381 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan itu, membabitkan penyertaan dari sembilan daerah iaitu Ranau selaku tuan rumah, Kota Kinabalu, Labuan, Keningau, Tambunan, Semporna, Kota Belud, Kota Marudu dan Sandakan.
Turut hadir Ketua Unit Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ranau, Sazaki Mohd. Zin; Pengarah Program Borneo Esport 2026, Mohd. Adib Moin; Pegawai Kemajuan Masyarakat N.37 Karanaan, Syukri Saridih; serta tetamu lain.

































