Jafry Arifin
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus komited memperjuangkan cadangan meletakkan sektor pelancongan di bawah Senarai Bersama (Concurrent List) Perlembagaan Persekutuan selaras dengan semangat dan prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi membolehkan Sabah mempunyai kuasa perundangan untuk mengawal selia, mengurus dan membangunkan industri pelancongan mengikut keperluan, keutamaan serta keunikan negeri.
“Sabah bukan meminta layanan istimewa. Sabah hanya mahu memperkukuhkan keupayaannya menguruskan salah satu sektor ekonomi terpenting dengan cara yang mencerminkan semangat MA63,” katanya dalam kenyataan media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Putrajaya, kelmarin.
Jafry berkata, meletakkan pelancongan di bawah Senarai Bersama akan membolehkan Sabah memperkukuhkan tadbir urus pelancongan, menambah baik kerangka pelesenan dan kawal selia, melindungi khazanah budaya serta alam semula jadi yang kaya, meningkatkan aspek keselamatan pelawat, selain memperkenalkan dasar seperti Levi Kelestarian Pelancongan bagi menyokong usaha pemuliharaan dan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.
Beliau menegaskan cadangan itu bukan bertujuan memisahkan Sabah daripada kerangka pelancongan nasional, sebaliknya untuk mewujudkan kerjasama yang lebih berkesan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Cadangan ini adalah untuk memperkasakan Sabah supaya dapat mengurus industri pelancongannya dengan lebih berkesan, sambil terus menyumbang dan menyokong agenda pelancongan negara,” katanya.
Menurutnya, industri pelancongan Sabah mempunyai ciri-ciri unik yang memerlukan dasar khusus berdasarkan realiti geografi, alam sekitar dan sosioekonomi negeri, khususnya kekayaan biodiversiti, kawasan perlindungan yang luas, pelancongan pulau, warisan budaya masyarakat pribumi serta sektor pelancongan berasaskan komuniti.
Katanya, peranan yang lebih kukuh untuk Sabah dalam tadbir urus pelancongan bukan sahaja akan memberi manfaat kepada negeri, malah akan meningkatkan daya saing industri pelancongan Malaysia secara keseluruhan.
Jafry berkata, sektor pelancongan kekal sebagai antara tonggak utama ekonomi Sabah dengan menyediakan peluang pekerjaan, menyokong perniagaan tempatan serta menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“MA63 bukan sekadar dokumen bersejarah. Ia merupakan komitmen berperlembagaan yang perlu terus dijadikan panduan dalam pembangunan dasar serta memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri,” katanya.
Beliau menegaskan Kerajaan Sabah kekal komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan cadangan itu dapat dilaksanakan menerusi libat urus yang konstruktif demi kepentingan Sabah dan Malaysia.
“Kami yakin melalui kerjasama, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap semangat MA63, kita mampu memperkukuhkan lagi industri pelancongan Malaysia demi manfaat semua pihak,” katanya.
































